Firdaus Azil
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan bertemu dengan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang telah melepaskan jawatan sebagai Exco Negeri Melaka, namun mengekalkan jawatan parti untuk memberi tumpuan menentang DAP.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau ingin mengetahui siapa sebenarnya daripada DAP yang menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu membuat tindakan sedemikian.
“(Keputusan) itu hak peribadi beliau. Beliau tahu apa yang beliau lakukan. Saya (cuma) ingin tahu daripada beliau, nanti saya akan jumpa dengan beliau … nak serang siapa dalam perkara ini?” soalnya kembali.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan logo baharu Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, pada Khamis.
Awal hari ini, Dr Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.
Beliau bagaimanapun tidak akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda seperti yang diramal sebelum ini.
Tegas Dr Akmal, keputusan tersebut diambil bagi membolehkan beliau memberi fokus kepada perjuangan menentang DAP, yang disifatkannya sebagai musuh yang nyata.
Selain itu, Dr Akmal berkata, beliau mahu membuktikan dirinya tidak sama sekali akan lari daripada perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.
Pemuda Sosial DAP (DAPSY) sebelum ini mendesak Dr Akmal untuk meletak jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO selagi terus mengkritik DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketegangan di antara Akmal dan pimpinan DAP timbul selepas beliau mendakwa pemimpin parti itu berulang kali membangkitkan isu yang menyentuh sensitiviti agama, bangsa, dan Raja-raja Melayu.
“Bagi saya jawatan dalam kerajaan negeri tidak penting, tetapi apa yang lebih penting adalah maruah, prinsip dan suara akar umbi,” tegasnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan