"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hayunan pendulum PAS

Mohsin Abdullah

Pendulum. Terjemahannya dalam bahasa Melayu “batu ladung”. Ada juga yang menterjemahnya sebagai “bandul”. Apa pun ia biasa kelihatan pada jam dinding fesyen lama. Ia berhayun kiri kanan kiri kanan mengikut detik masa. Hayunan terhenti apabila jam ‘mati’.

Seorang kawan yang kebetulan bekas aktivis PAS pernah mengajukan “teori pendulum” semasa mengupas prestasi PAS dalam beberapa pilihan raya. Katanya, kecemerlangan PAS dalam suatu pilihan raya akan disusuli dengan prestasi tidak baik pada pemilihan berikutnya. Akan datang ia mencatatkan prestasi yang baik pula. Ringkasnya – prestasi baik, tidak baik, baik, tidak baik. Begitu. Seakan hayunan lantas teori pendulum.

“PAS menang Kelantan 1990, kalah PRU 1995 tapi Kelantan kekal walaupun prestasi kurang baik. 1999 menang besar ekoran isu Anwar Ibrahim, menang Kelantan, Terengganu. 2004 kalah balik. Walaupun Kelantan kekal Terengganu hilang,” kata beliau.

Perlu menyorot sedikit sejarah untuk menghayati apa yang kawan saya katakan itu. PRU 1990 ialah pilihan raya umum kali ketiga sejak Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri. Ia merupakan kali pertama “Umno Baru” bertanding setelah berlaku perang besar Umno pada 1987. Perang antara Tim A pimpinan Mahathir dengan Tim B pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

Ku Li menubuhkan Semangat 46 menjalin kerjasama dengan PAS dan beberapa parti kecil Melayu dan menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah atau APU. Gandingan ini berjaya menumpaskan Barisan Nasional di Kelantan (tetapi BN menang peringkat Parlimen). Walaupun Semangat 46 sudah bubar sekaligus APU sudah tiada, sekian lama PAS memerintah Kelantan sehingga hari ini.

Kalau pada 1990 PAS bersama APU cemerlang, lima tahun kemudian prestasi kurang memberangsang meskipun mengekalkan pemerintahan di Kelantan. Tetapi pada pilihan raya yang diadakan pada 1999 PAS mendapat untung besar daripada isu pemecatan Anwar daripada Umno setahun terdahulu. Meskipun tidak berjaya menumbangkan BN di peringkat nasional menerusi Barisan Alternatif, PAS mengekalkan Kelantan dan mendapat bonus apabila memenangi Terengganu. Jelas PAS memanfaatkan sentimen anti-Mahathir dalam kalangan pengundi Melayu ketika itu.

Namun pada 2004 BN pimpinan Abdullah Ahmad Badawi mencatat kemenangan besar di peringat nasional. PAS tetap kekal memerintah Kelantan. Bagaimanapun ia kehilangan Terengganu. Abdul Hadi Awang hanya sempat memegang jawatan menteri besar Terengganu selama satu penggal.

Kesedihan terubat empat tahun kemudian pada PRU 2008 apabila PAS berjaya menjadi kerajaan di Kedah di samping Selangor apabila Pakatan Rakyat yang dianggotai bersama PKR dan DAP.

Pilihan raya 2013 dan 2018 tidak apa yang menakjubkan buat PAS tetapi PRU15 yang diadakan tahun lalu, PAS dengan garang menyapu banyak kerusi Parlimen di Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Pencapaian itu digelar “Gelombang Hijau” sempena warna bendera PAS.

Begitu hayunan pendulum yang diperkatakan kawan saya si bekas aktivis PAS. Setelah prestasi mengkagumkan tahun lalu, Ogos ini PAS akan menghadapi enam pilihan raya negeri termasuk di Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang diperintahnya. Saya tidak mahu bercakap mengenai teori pendulum kawan saya itu. Kalau pun ada hayunan, saya tidak berhasrat meramal arah mana ia akan terhayun. Takut dituduh tukang tilik. Lebih teruk dituduh tahyul dan taghut. Nauzubillah min zalik.

Tiada ulasan: