"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak Saari Sungib mungkin jadi pertaruhan PH di Hulu Kelang

Malaysiakini

Naib Ketua Angkatan Wanita Amanah, Anfaal Saari dijangka menjadi pertaruhan Pakatan Harapan (PH) bagi mempertahankan kerusi Hulu Kelang, yang sebelum ini disandang bapanya, Saari Sungib.

Menurut sumber, Anfaal sudah dinamakan untuk mewakili Amanah bagi bertanding di kawasan yang dilihat agak selamat buat PH itu.

Bagaimanapun, kata sumber, nama itu akan dimuktamadkan apabila ia diumumkan oleh pemimpin tertinggi PH - kemungkinan pengerusinya sendiri, Anwar Ibrahim - tidak lama lagi.

Saari memenangi kerusi itu sejak pilihan raya umum (PRU) ke-13 pada 2008. Saari ketika itu merupakan ahli PAS dan bertanding mewakili Pakatan Rakyat (Pakatan) sebelum menjadi ahli Amanah.

PRU tersebut juga menyaksikan kerajaan Selangor bertukar tangan daripada BN kepada Pakatan.

Saari - wakil Amanah dan PH - mempertahankan kerusi Hulu Kelang semasa PRU ke-14 yang diadakan pada 2018.

Dia memperoleh 25,746 undi dan mengalahkan pencabar terdekat, Ismail Ahmad (BN) dengan perbezaan 15,349 undi. Seorang lagi calon yang mencuba nasib di situ ialah wakil PAS, Kamalulhysham Mohd Suhut yang hanya memperoleh 7,573 undi.

Untuk rekod pada akhir Nov 2020 lalu Saari menawarkan diri untuk berdepan dengan Azmin bagi kerusi parlimen Gombak. Ia berlaku beberapa bulan selepas kerajaan PH dijatuhkan melalui Langkah Sheraton.

Azmin merupakan salah seorang watak utama yang terlibat dalam gerakan tersebut.

Menurut sumber, Saari, 65, sudah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding semula di Hulu Kelang, antara lain kerana faktor kesihatan yang mengehadkan tugasnya sebagai Adun.

"Saari memberitahu dia sudah tidak sepantas dan setangkas dulu khususnya bagi tempoh 2008 hingga 2015 dan keadaan itu dimaklumkan kepada Amanah Gombak," kata sumber kepada Malaysiakini.

Malah, katanya seawal 2013 Saari - ketika itu menjadi ketua Amanah Gombak - sudah memaklumkan dia sebenarnya sudah hilang kelayakan untuk menjadi calon sekali lagi.

Bahkan, katanya, Saari menganggap dia boleh menjadi liabiliti kepada Amanah dan PH.

"Kali ini kemungkinan besar kerusi itu akan cuba dipertahankan oleh anak Saari sendiri bagi pihak Amanah dan kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, Saari yang dihubungi Malaysiakini meminta agar semua pihak menunggu sehingga pengumuman rasmi dibuat bagi mengesahkan calon di semua 56 kerusi DUN Selangor.

Selain Hulu Kelang, dua lagi kawasan DUN yang berada di bawah Gombak ialah Sungai Tua dan Gombak Setia.

Tiada ulasan: