"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anggota polis parah ditikam dalam operasi dadah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang anggota polis cedera parah selepas ditikam seorang lelaki dalam satu operasi membanteras dadah sekitar Johor Bahru.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 3.20 pagi membabitkan anggota polis berpangkat konstabel berusia 22 tahun yang mengalami luka dalaman di rusuk kiri akibat ditikam pisau.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa Ops Tapis Khas di sekitar Johor Bahru disertai seorang pegawai dan lima anggota polis termasuk mangsa.

“Semasa pegawai dan anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap tiga individu, suspek tiba-tiba cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan sehingga mangsa ditikam suspek. Suspek berjaya melarikan diri.

“Pihak polis tidak sempat merekodkan sebarang maklumat suspek. Polis kini giat memburu lelaki warga tempatan berpakaian baju lengan panjang hitam, berselipar, memakai ‘snowcap’ hitam dan memakai pelitup muka warna hitam,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 2.30 pagi semasa pemeriksaan terhadap tiga individu itu di kawasan tempat letak kereta berbayar di Jalan Ungku Puan.

Beliau berkata, anggota polis itu kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan dan kini dalam keadaan stabil.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas anggota polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung terus menerusi talian ‘hotline’ IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323, atau pegawai penyiasat Noor Azlinda Mohd Khalid di talian 017-2765250,” katanya.

Tiada ulasan: