"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Alhamdulillah, berita baik yang menggembirakan

Mohsin Abdullah

Mengapa panglima perang PAS, Sanusi Md Nor, menggunakan istilah Chow Kit untuk menamakan langkah menumbangkan Kerajaan Persekutuan? Ini susulan istilah Langkah Dubai yang sedang banyak diperkatakan sekarang.

“Saya tak fikir ia Langkah Dubai, (mungkin) Langkah Chow Kit kerana perkara itu dibincangkan di Kuala Lumpur,” Sanusi dipetik media berkata pada sidang akhbar di Alor Setar 3 Januari lalu.

Kalau begitu mengapa tidak dinamakan Langkah Kuala Lumpur sahaja? Mengapa Chow Kit? Chow Kit hanya sebahagian daripada Kuala Lumpur. Adakah beliau cuba membayangkan perjumpaan komplot guling kerajaan diadakan di ibu pejabat PAS, yang terletak di Jalan Raja Laut? Jalan Raja Laut dalam kawasan Chow Kit. Alamat Pejabat Agung PAS hasil carian Google menyatakan Jalan Raja Laut, Chow Kit, Wilayah Persektuan Kuala Lumpur.

Muncul Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, ketua Pemuda Bersatu, yang terpanggil untuk berkata Sanusi sekadar ‘mengusik’ ketika bercakap mengenai Langkah Chow Kit. “Sanusi kan suka sindir pedas,” kata Fayhsal.

Yang best Sanusi sendiri tidak tampil untuk menjelaskan beliau sebenarnya mengusik. Begitu juga para pemimpin PAS yang mengenali beliau sekian lama. Mungkin si ketua Pemuda Bersatu lebih rapat dengan panglima perang PAS sehingga boleh baca apa nawaitu Sanusi. Maklumlah PAS dan Bersatu duduk sama dalam Perikatan Nasional.

Tampil Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menegaskan partinya dan PN tidak mengamalkan budaya membeli Ahli Parlimen untuk menukar kerajaan. Ini susulan dakwaan wujudnya Lngkah Dubai yang dikaitkan dengan gabungan itu.

Hadi kata PAS tetap bersedia dan berusaha menunggu perubahan kerajaan melalui proses demokrasi dan Raja Berperlembagaan. “PAS dan rakan-rakan dalam PN memilih pendekatan mempertahankan kepercayaan rakyat secara langsung dan tidak langsung.” Kesimpulannya Hadi berkata PAS dan PN mengamalkan politik demokrasi sebenar yakni menghormati keputusan rakyat yang dibuat melalui peti undi.

Alhamdulillah, ini berita baik yang menggembirakan. Oleh itu bolehlah kita abaikan kata-kata Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan Hadi, bahawa PAS ada ‘agenda besar’ membawa naib presiden parti yang juga Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, ke Parlimen. Ini beliau kata menjelang PRK Kemaman tahun lalu yang dimenangi Samsuri.

Ada pihak percaya ‘agenda besar’ yang dimaksudkan Tuan Ibrahim ialah Samsuri jadi perdana menteri jika atau apabila PAS-PN menjadi kerajaan. Ada pihak lain pula berpendapat seseorang calon perdana menteri lazimnya akan diketengahkan partinya semasa pilihan raya bukan ketika Parlimen belum bubar dan in full swing.

That’s all academic now berdasarkan kenyataan Hadi yang disebut tadi. Berdasarkan kata-kata Hadi itu juga bolehlah diabai kata kata Hadi sendiri yang beliau luahkan menjelang enam pilihan raya negeri Ogos tahun lalu.

Waktu itu Hadi mendakwa kemenangan besar PN dalam enam PRN itu akan membolehkan berlakunya perubahan dalam kerajaan persekutuan. Bagaimana menang pilihan raya negeri boleh ubah kerajaan persekutuan? Ubah ertinya kerajaan persekutuan sedia ada ditumbangkan untuk diganti kerajaan lain. Hadi tidak menjelaskan tetapi ramai yang tahu yang tersurat dan yang tersirat.

Tak apa lah. Lupakan kata-kata itu kerana Hadi sudah kata apa yang beliau kata tadi. Apa pun apabila bercakap mengenai jalan pintas jadi kerajaan, tanpa perlu bertanding pilihan raya, tentu kita ingat ibu segala langkah yakni Langkah Sheraton. Jayanya Langkah Sheraton menggalakkan sang politikus berkomplot dan berkonspirasi dengan langkah itu dan langkah ini.

Imbau kembali pada 2020, Bersatu dan beberapa Ahli Parlimen PKR menarik sokongan daripada Pakatan Harapan yang memerintah. Perdana Menteri Mahathir Mohamad terpaksa letak jawatan. Ada pihak tuduh beliau rancang letak jawatan. Itu bukan isunya di sini.

Bersatu dan kumpulan renegade PKR dibantu Umno dan PAS menubuhkan kerajaan tanpa perlu melalui proses pilihan raya. Semua parti terbabit duduk dalam kerajaan. Hadi sendiri menggunakan istilah ‘tebuk atap’ untuk menggantikan istilah ‘pintu belakang’ yang diguna ramai.

Langkah Sheraton melanggar setiap amalan demokrasi. Ia mencabuli hak rakyat serta tidak menghormati suara rakyat. Ia ingkar proses demokrasi dan Raja Berperlembagaan. Tidak boleh dinafikan PAS pada 2020 terbabit secara langsung dalam pencabulan itu.

Diulangi apa kata Hadi yang disebut tadi. Kata-kata yang PAS ucapkan empat tahun selepas Langkah Sheraton bahawa PAS sedia menunggu proses perubahan kerajan melalui proses demokrasi dan Raja Berpelembagaan serta mempertahankan kepercayaan rakyat.

PAS 2020 dan PAS 2024 lain nampaknya walaupun pimpinannya orang yang sama. PAS sudah insaf? Alhamdulillah.

Tiada ulasan: