"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bicara genosid Israel di ICJ beri ‘harapan’ kepada Palestin

Bernama

ISTANBUL: Amnesty International pada Khamis menegaskan bahawa prosiding semasa di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang difailkan oleh Afrika Selatan terhadap Israel mempunyai potensi untuk melindungi rakyat Palestin, “menamatkan bencana kemanusiaan” di Gaza dan memberikan sinar harapan untuk keadilan antarabangsa.

“Di saat Amerika Syarikat terus menggunakan kuasa veto menyekat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) daripada menyeru gencatan senjata, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan terus berleluasa, manakala risiko pembunuhan beramai-ramai adalah jelas.

“Negara-negara mempunyai kewajipan mencegah dan menghukum tindakan genosid dan jenayah kekejaman lain,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Setiausaha Agung Amnesty International Agnes Callamard dalam kenyataan.

Katanya lagi, siasatan ICJ terhadap tindakan Israel ialah langkah penting untuk melindungi nyawa rakyat Palestin, mengembalikan kepercayaan dan kredibiliti undang-undang antarabangsa dan membuka jalan untuk keadilan dan pampasan kepada mangsa.

Tahap kemusnahan dan kehancuran di Gaza sejak tiga bulan lepas terus meluas, memaksa sekurang-kurangnya 85% daripada penduduknya berpindah, katanya.

Callamard berkata, ramai rakyat Palestin dan pakar hak asasi manusia menganggap tindakan menjadikan Gaza sebagai wilayah yang “tidak boleh didiami” sebagai taktik Israel.

“Sementara menunggu keputusan muktamad ICJ sama ada jenayah pembunuhan beramai-ramai dan jenayah lain bawah undang-undang antarabangsa telah dilakukan, arahan untuk melaksanakan langkah-langkah sementara adalah penting bagi membantu mencegah kematian, kemusnahan dan penderitaan awam daripada berterusan,” katanya.

Perbicaraan pada Khamis akan disusuli dengan hujah pembelaan Israel pada Jumaat.

Tiada ulasan: