"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua anggota polis ditahan disyaki samun, rogol penuntut asing

Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@mediaprima.com.my

Ampang Jaya: Dua anggota polis ditahan kerana disyaki terbabit kes samun dan rogol remaja perempuan warga Uzbekistan dalam kenderaan peronda polis (MPV) di Bukit Ampang di sini, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, polis mengesahkan menerima dua laporan daripada lelaki dan remaja perempuan warga asing yang juga penuntut kolej swasta.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 10.09 malam kelmarin, ketika mangsa dan rakan lelakinya berada di Bukit Ampang View, ditahan oleh dua orang suspek lelaki yang lengkap beruniform.

Menurutnya, kedua-dua suspek bertindak membawa mangsa dan rakannya ke tempat yang berasingan.

"Dalam kejadian itu, seorang suspek merogol mangsa manakala rakan lelaki pula dibawa ke bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta oleh kedua-dua suspek atas kesalahan lalu lintas.

"Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menangkap kedua-dua suspek petang semalam dan direman selama tujuh hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua kertas siasatan dibuka iaitu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Siasatan masih dijalankan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dengan kejadian ini, boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Ampang Jaya ditalian 03-42897222 bagi membantu siasatan.

"Pihak polis juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit dalam mana-mana kes jenayah ataupun mana-mana salah laku dan siasatan akan dijalankan secara telus," katanya.

Tiada ulasan: