"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Kahwin kontrak dengan lelaki asing untuk elak stigma

Sharifah Mahsinah Abdullah
am@hmetro.com.my
IDA dan Jahangir di kedai mereka di Kota Bharu. FOTO Sharifah Mahsinah Abdullah
IDA dan Jahangir di kedai mereka di Kota Bharu. FOTO Sharifah Mahsinah Abdullah
Kota Baru: Wanita di Kelantan terutama janda dan anak dara tua beralih memilih lelaki asing sebagai pasangan bagi mengelak stigma masih tidak berkahwin.

Wanita ini yang majoritinya stabil dari segi kewangan akan menawarkan kepada bakal pasangan mereka elaun bulanan, tempat tinggal, kereta, motosikal serta peluang perniagaan.

Ganjaran ini yang adakalanya sebahagian daripada perjanjian perkahwinan yang dikenali sebagai perkahwinan kontrak apabila pasangan secara tidak rasmi berjanji untuk kekal berkahwin untuk tempoh tertentu sehingga lima tahun.

Data imigresen yang diperoleh The New Straits Times menunjukkan, 17,137 permohonan dibuat penduduk Kelantan untuk pas lawatan sosial jangka panjang untuk pasangan asing mereka pada 2022 berbanding 17,036 tahun lalu.

Daripada jumlah itu, purata 12,000 pemohon ialah wanita yang memohon pas untuk suami warga asing setiap tahun.

Data imigresen juga menunjukkan majoriti pasangan asing di Kelantan terdiri daripada warga Thailand diikuti lelaki Bangladesh dan Myanmar.

Sumber Imigresen berkata, kahwin kontrak bukanlah amalan baharu berikutan tahun lalu sahaja, Jabatan Imigresen mendapati ramai lelaki warga asing berkahwin dengan wanita tempatan untuk tujuan sama dan menikmati faedah seperti tempat tinggal, pekerjaan serta elaun.

"Dalam kontrak biasanya bertahan lebih tiga tahun, wanita kebanyakannya janda kaya dan anak dara tua bersetuju membayar warga asing dengan jumlah tertentu setiap bulan.

"Suami baharu mereka kemudiannya akan ditugaskan untuk menguruskan perniagaan isteri atau peluang baharu," katanya.

Sumber itu berkata, semakan menunjukkan, wanita itu memilih keputusan itu kerana kesunyian serta mengelak stigma masih belum berkahwin.

"Dalam temu bual jabatan ini dengan wanita mengenai sebab mereka berkahwin dengan warga asing, mereka menjawab lelaki Malaysia biasanya lebih suka berkahwin dengan wanita lebih muda.

"Lelaki warga asing pula tidak kisah selagi pasangan mereka stabil dari segi kewangan dan mereka mempunyai peluang untuk kekal di Malaysia lebih lama," katanya.

Seorang balu dari Paloh yang hanya ingin dikenali sebagai Ani,65, berkata, dia kehilangan suaminya akibat diabetes pada 2018 manakala tiga anaknya berkahwin dan berpindah.

Katanya, dia berkahwin dengan lelaki Myanmar berusia 38 tahun pada 2020 dan mengikat kontrak perkahwinan selama lima tahun.

"Saya tidak mempunyai sesiapa untuk membantu saya menjalankan perniagaan jadi saya bersetuju berkahwin dengannya kerana lebih banyak kebaikan daripada keburukan," katanya yang menjalankan perniagaan makanan sejuk beku.

Katanya, majlis perkahwinannya diadakan di Kampung Kota dengan dihadiri saudara mara dan rakan pengantin lelaki.

"Anak saya tidak kisah selagi saya ada seseorang untuk menjaga dan membantu saya menjalankan perniagaan," katanya.

Seorang lagi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Sheila berkata, dia berkahwin dengan lelaki Indonesia kerana bosan dilabel sebagai anak dara tua.

Sheila yang mengusahakan sebuah restoran di Kota Baru berkata, kebanyakan tohmahan dilemparkan jiran dan kenalan.

"Saya sudah bosan dengan gosip itu. Ibu bapa saya berasa lega apabila saya berkahwin.

"Saya tak kisah asalkan saya jadi isteri orang," katanya suaminya lebih tua dua tahun daripadanya.

Sementara itu, lelaki Pakistan yang hanya mahu dikenali sebagai Jahangir berkata, dia sedar ada yang memandang perkahwinan antara warga asing dan wanita tempatan dengan curiga.

Jahangir berkata, dia berusia 22 tahun ketika berkahwin dengan isteri, Ida yang berasal Kelantan pada 2012 selepas mengenalinya melalui Facebook selama setahun.

Katanya, Ida seorang balu yang mempunyai lima anak dan 18 tahun lebih tua daripadanya.

Jahangir kini berusia 38 tahun berkata, cintanya mekar dan dia berpindah ke Kota Baru untuk mengahwininya.

Pasangan itu kini mengusahakan kedai runcit milik Ida serta mempunyai seorang anak lelaki berusia sembilan tahun hasil perkahwinan mereka itu.

Ida pula berkata, lima anaknya menerima Jahangir sebagai bapa tiri mereka.

"Kami berkahwin kerana saling menyayangi. Dia suami dan bapa yang hebat kepada anak-anak saya.

"Ramai juga rakan Jahangir berkahwin melalui kaedah itu, malah kami pernah menghadiri beberapa majlis rakan kami melangsungkan perkahwinan kontrak.

"Tidak dinafikan, ada yang gembira manakala yang lain berpisah sebelum kontrak tamat," katanya.

Tiada ulasan: