"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerana roti, banduan warga Indonesia hilang nyawa

Nuraliawati Sabri
am@hmetro.com.my

Melaka: Selepas seminggu bertarung nyawa dipercayai dipukul rakan sebiliknya, banduan warga Indonesia disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka, petang semalam.

Lelaki berusia 47 tahun terbabit disyaki terbabit pergaduhan dengan rakan sebiliknya berusia 33 tahun selepas dia dikatakan mengambil roti milik suspek.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu berlaku di Penjara Sungai Udang kira-kira jam 2 petang pada 17 Februari lalu, dan disedari oleh wardar ketika melakukan kawalan penjara, kira-kira 15 minit kemudian.

"Daripada siasatan dijalankan, kejadian didakwa berpunca apabila suspek yang baru selesai sembahyang didatangi mangsa dan dia kemudian bertanya adakah lelaki itu mengambil bahagian roti miliknya sebelum bertindak memukul mangsa kerana tidak berpuas hati warga asing terbabit meninggikan suara menafikan hal itu.

"Punca kejadian dipercayai kerana mangsa dikatakan mengambil makanan yang dibekalkan oleh pihak penjara kepada suspek, menyebabkan dia tidak dapat makan.

"Suspek didakwa turut bertindak memijak bahagia peha mangsa beberapa kali selepas dia terjatuh selain menendang ke arah dada dan menghumban ke kawasan bilik air," katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, pintu bilik berada dalam keadaan terbuka dan ketika itu hanya terdapat mangsa serta suspek saja kerana banduan yang lain sedang menjalani aktiviti riadah bebas.

"Mangsa dan suspek adalah rakan sebilik. Mangsa sedang menjalani hukuman di bawah Akta Imigresen manakala suspek pula menjalani hukuman selama 13 tahun di bawah Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan," katanya.

Christopher berkata, mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke klinik penjara (RSD) sebelum dihantar ke Hospital Melaka bagi rawatan lanjut.

"Doktor yang merawatnya mengesahkan mangsa mengalami kecederaan pendarahan dalam kepala, benjol di kiri kepala, luka mata dan telinga kiri.

"Dia kemudian disahkan meninggal dunia jam 6.28 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: