"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bila PM menganjing…

Hishamuddin Aun

Dikata pendendam, tidak kompeten, dan tiada hala tuju selepas setahun kepimpinannya, Anwar Ibrahim masih mampu tersenyum. Cuma, senyuman perdana menteri bukan biasa-biasa tapi seperti menyindir. Tentunya Anwar tidak mengharapkan puji-pujian daripada anggota pembangkang, tambahan pula mereka bercita-cita untuk mengambil alih kuasa.

Harus Anwar sudah penat melayan kerenah pembangkang yang tidak henti-henti mempersoalkan keabsahan majoriti lebih 2/3 dimilikinya di Dewan Rakyat, meskipun beliau sentiasa bersikap terbuka untuk mereka mengujinya dengan usul undi tidak percaya. Tapi rupa-rupanya pembangkang hanya bercakap tanpa bersungguh-sungguh mengambil tindakan sedemikian. Harus benar juga andaian tindakan itu dibimbangi akan mendedahkan sokongan kepada Perikatan Nasional semakin merosot.

“Dah setahun… Dah lama kita tunggu (usul tidak percaya). Hari-hari kita tunggu tetapi tak ada,” kata Anwar ketika mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri kelmarin. Tidak tahulah bagaimana pembangkang mentafsir kenyataan berkenaan tapi ramai yang akan bersetuju ia sebenarnya ‘menganjing’ mereka.

Selepas mempopularkan istilah seperti ‘purbasangka’, ‘hubaya’, ‘membobrok’, dan ‘kesenjangan’ ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, Februari tahun lalu, istilah ‘menganjing’ bagaimanapun tiada dalam kosa kata Anwar. Kebetulan slanga atau kata yang tidak tergolong dalam bahasa baku bukan kecenderungan perdana menteri dalam urusan harian.

‘Menganjing’ atau memerli mungkin tidak pun terlintas di fikiran perdana menteri tapi itulah slanga yang tepat menggambarkan reaksinya terhadap pembangkang yang terus-terusan mahu mencabar keabsahan yang dimilikinya untuk kekal mentadbir negara sehingga tamat penggal lima tahun pada penghujung 2027.

Dari mula mengambil alih tampuk kuasa selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 Nov 2022, Anwar yang menawarkan agar usul undi percaya dibawa dalam sidang Dewan Rakyat pada bulan berikutnya. Selepas dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan kemudian dibahaskan oleh 12 Ahli Parlimen pada 19 Dis 2022, usul undi percaya itu diluluskan dengan undian suara. Reda seketika isu keabsahannya selepas itu.

Berselang kurang lima bulan pada 5 Mei 2003, perdana menteri mengulangi gesaan supaya pembangkang membuktikan jumlah sokongan yang didakwa diperoleh mereka bagi menubuhkan kerajaan baharu pada sesi Parlimen berikutnya. Ini berikutan spekulasi konon wujud komplot menjatuhkan Anwar selepas dilaporkan bahawa 10 Ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin selepas PRU15 merancang memaksa pilihan raya kecil diadakan. Mereka dikatakan merancang keluar parti, sekali gus menyebabkan kerusi dikosongkan mengikut undang-undang anti-lompat parti.

“Kalau dia (PN) ada (cukup sokongan) tunggu masa Parlimen nanti, bawalah SD (akuan berkanun). Usulkan di Parlimen tiada masalah. Ini tiap-tiap minggu mengigau,” kata Anwar mengulas dakwaan pembangkang konon mereka mempunyai 126 sokongan Ahli Parlimen ketika itu.

“Kerajaan perpaduan akan bertahan sehingga habis penggal lima tahun. Saya sangat yakin,” katanya lagi. Umum pun tahu langkah itu tidak berlaku dan tinggal hanya gembar-gembur. Episod yang sama berulang lagi. Pada 30 Julai 2023, Anwar berkata beliau tidak akan menghalang sebarang bentuk undi tidak percaya daripada pihak pembangkang dan sanggup memendekkan tempoh pembentangan usul di Dewan Rakyat daripada dua minggu kepada tiga hari.

“PAS, Bersatu, kalau ada undi (tidak percaya), bentangkan usul. Saya tidak akan halang (daripada dibentangkan). Saya bukan seperti Muhyiddin. Apabila ada yang mahu membentangkan usul (undi) tidak percaya, dia sebaliknya isytihar darurat. Kalau nak cabar, sila buat. Saya akan beritahu speaker Dewan Rakyat, kalau dua minggu terlalu lama (untuk serahkan notis), buat tiga hari,” katanya pada ceramah Arus Merah Kuning di Subang Bestari. Seperti gembar-gembur terdahulu, ini juga tidak berlaku.

Jadi, benarlah seperti kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, sudah dua kali Anwar buka ruang kepada undi tidak percaya terhadapnya – berlawanan dengan dakwaan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari konon beberapa usul difailkan oleh pembangkang sebelum ini ditolak mentah-mentah oleh speaker. Jelaslah ia cuma alasan pembangkang sebagai menutup kelemahan mereka sendiri.

Juga entah dari mana datangnya cerita konon Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri yang beria-ia mencadangkan jalan untuk menukar Anwar sebagai perdana menteri seperti didakwa Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan. Dengan memesongkan nasihat Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim supaya pembangkang memfailkan segera usul tidak percaya terhadap Anwar sebelum Dewan Rakyat mula bersidang bulan depan, itu tidak boleh dijadikan dalil konon ada wakil rakyat PKR tidak berpuas hati dengan kepimpinan Anwar. Ia sekadar mendedahkan pembangkang sudah kehabisan modal dan muflis idea.

Tepat sekali jika Anwar sekali lagi ‘menganjing’ pembangkang bahawa mereka sebenarnya tidak memiliki kekuatan atau cukup ‘jumloh’ untuk menukar kerajaan ketika ini. Dicabar untuk bawa usul undi tidak percaya pun, pembangkang terus bertelagah sesama mereka hingga mengada-adakan alasan yang bercanggah sebagai menunjukkan tiadanya kesepakatan antara mereka. Baik Langkah Dubai yang diuar-uarkan atau Langkah Chow Kit seperti dikata oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor, semuanya hanya propaganda.

Pada masa sama, Anwar juga tidak boleh dipersalahkan jika terus dibuai keyakinan untuk kerajaan perpaduan pimpinannya terus kekal atas perkenan diraja. Ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Selasa lalu, Anwar dimaklumkan Istana Negara tidak akan terbabit dalam percaturan politik, malah mahu kerajaan meneruskan kerja mengurus negara.

Lebih elok pembangkang menuruti nasihat perdana menteri supaya bekerja untuk rakyat dan biarkan pengundi buat pilihan apabila tiba masanya. Patut mereka imbau ucapan Anwar pada 3 Okt lalu yang berbunyi:

“Jika anda mahu bertentangan dengan kami, tunggu empat tahun lagi. Anda boleh membuat bising sebanyak mana yang anda mahu sekarang tetapi kerajaan perpaduan akan kekal. Tidak kira berapa banyak Perikatan Nasional telah merosakkan dan mengejek, saya masih tetap PMX.”

Jika itu bukan ‘menganjing’ pembangkang namanya, tak tahulah apa yang boleh disebut lagi.

Tiada ulasan: