"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Shamsul Iskandar tuntut RM5 juta dari Badrul Hisham ekoran fitnah Facebook

Harapandaily

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menuntut ganti rugi atau pampasan RM5 juta daripada ahli jawatankuasa penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin berhubung hantaran di Facebook yang didakwa berunsur fitnah.

Notis tuntutan telah diserahkan kepada Badrul di luar Balai Polis Setapak pada pukul 4.30 petang tadi.

Perkara ini telah disahkan oleh peguam Shamsul, Sankara Nair dari SN Nair & Co menerusi satu kenyataan media.

“Hantaran Facebook yang menjadi punca pertikaian mengandungi kenyataan palsu tidak berasas dan berbaur fitnah terhadap anak guam kami dengan pengataan yang mengaitkan Shamsul dengan amalan korupsi,” kata Sankara dalam kenyataan tersebut.

Secara ringkasnya, Badrul Hisham membuat tohmahan bahawa Shamsul mengagihkan dana bantuan NGO kepada rakan-rakannya yang boleh menunggang akaun NGO atau mempunyai NGO.

Badrul turut mendakwa bahawa program bantuan NGO ini ditunggang oleh PKR.

Ekoran itu Shamsul telah membuat laporan polis ke atas Badrul pada 6 Januari.

Menurut Sankara, hantaran Badrul memberi gambaran bahawa Shamsul, antara lain, menyalahgunakan kedudukan dan kuasa, melakukan penyelewengan dana awam dan tidak boleh dipercayai.

Shamsul menuntut perkara berikut dari Badrul:-

penarikan balik hantaran Facebook yang memfitnah secara umum, serta-merta.

permohonan maaf tanpa syarat dalam cara dan bentuk yang akan diluluskan oleh peguam dan disiarkan di media pilihan Shamsul.

aku janji bertulis untuk tidak mengulangi penyataan tersebut.

Sekiranya Badrul gagal menjawab notis tuntutan dalam tempoh lima hari, peguam Shamsul akan memfailkan writ saman.

Sankara yang turut mewakili sukarelawan Muhammad Hafiz Rayyan juga akan memulakan tindakan perundangan ke atas Badrul ekoran kenyataan fitnah yang dimuatnaik menerusi saluran Telegram.

Tiada ulasan: