"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh bayi: 2 sahabat dipenjara 35 tahun

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dua sahabat dihukum penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah kerana membunuh bayi lelaki berusia 23 bulan, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas ibu bayi itu, Nor Aisyah Mohd Yunus ,40, dan rakan serumahnya, Noor Aisyah Ibrahim, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Selepas mahkamah meneliti keterangan semua saksi, mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh gagal memberikan penjelasan bagaimana mangsa mendapat kecederaan sedangkan tertuduh mengakui sendiri mangsa berada di dalam rumah berkenaan semasa kejadian," kata hakim itu.

Mahkamah kemudian memerintahkan setiap tertuduh dipenjara 35 tahun dari tarikh tangkap pada 4 November 2019.

Mengikut pertuduhan, dua penjawat awam itu didakwa bersama-sama membunuh bayi itu di sebuah rumah di Presint 5, Putrajaya, di antara pertengahan September 2019 hingga 4 November 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim, Mohd Isa Mohamed dan Noor Dayana Mohamad manakala peguam Najib Zakaria dan peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad yang mewakili kedua-dua tertuduh.

Seramai 19 saksi pendakwaan dan sembilan saksi pembelaan termasuk kedua-dua tertuduh dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada November 2021.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan, bayi lelaki itu didera dan terdapat kesan luka pada bahagian dagu dan atas kening sebelah kanan mangsa, bengkak dan luka pada kemaluan serta ada kesan lebam pada bahagian badan dan kesan parut pada kedua tangan dan kaki.

Hasil bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di pinggul dan hati akibat hentakan objek tumpul dan keras.

Terdapat 89 kesan lebam, lecur, calar baru dan lama di seluruh anggota badan mangsa.

Tiada ulasan: