"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua beradik curi lambang kereta Hakim Mahkamah Persekutuan untuk hadiah abang

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
LAMBANG Hakim yang dicuri dua beradik. FOTO Aizuddin Saad
LAMBANG Hakim yang dicuri dua beradik. FOTO Aizuddin Saad
Kuala Lumpur: Curi lambang kereta hakim untuk dihadiahkan kepada abang sempena hari lahirnya.

Itu tindakan dua beradik berusia 15 tahun yang menggores kenderaan rasmi milik Hakim Mahkamah Persekutuan.

Malah, nombor pendaftaran serta lambang 'Hakim' turut dicabut dalam kejadian di Taman Koperasi Polis Fasa Dua, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.50 malam selepas selesai menunaikan solat di masjid.

"Susulan itu, sepasukan polis daripada Cawangan Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul membuat serbuan di sebuah rumah di Batu Caves berdasarkan hasil risikan yang dijalankan.

"Hasil serbuan menahan dua remaja lelaki warga tempatan yang juga adik-beradik. Kedua-dua tangkapan berusia 15 tahun dan pelajar sekolah tingkatan tiga," katanya pada sidang media, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, siasatan mendapati remaja itu mencuri lambang berkenaan kerana menyerupai nama abangnya dan dihadiahkan sempena hari lahir.

"Siasatan mendapati adiknya ingin memberi hadiah hari lahir abangnya pada Mac ini kerana lambang berkenaan menyerupai nama abangnya.

"Kedua-dua suspek yang ditangkap tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tiada ulasan: