FMT Reporters
PETALING JAYA: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkemungkinan terus kekal sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) walaupun telah meletakkan jawatan pada 1 Jan lalu, berikutan PAS masih bergelut untuk mencapai persetujuan mengenai pengganti daripada parti itu, menurut satu laporan.
Utusan Malaysia yang memetik sumber PAS, melaporkan bahawa parti itu berada dalam kebuntuan mengenai calonnya bagi jawatan pengerusi PN, walaupun berhasrat untuk mengambil alih jawatan tersebut.
Kelewatan mengemukakan calon itu telah memberi persepsi negatif terhadap PAS, seolah-olah parti itu ketandusan pemimpin yang mampu menerajui PN, kata sumber berkenaan.
“Sebelum ini, kita bersungguh-sungguh mahu mengetuai PN dan Muhyiddin sudah pun meletak jawatan. Apabila orang (Bersatu) sudah serah, kita (PAS) pula masih lambat.
“Akhir sekali, kita jangka Muhyiddin yang kekal mengetuai PN. PAS gagal bertindak cepat dalam isu ini dan ia sangat mengecewakan,” kata sumber itu.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sebelum ini menuntut jawatan pengerusi PN bagi pihak partinya, namun dilaporkan telah menolak untuk memegang jawatan itu sendiri atas alasan kesihatan.
Antara yang disebut-sebut sebagai pengganti Muhyiddin ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga menteri besar Terengganu.
Samsuri, yang sebelum ini pernah dicanang sebagai calon perdana menteri berpotensi bagi PN, dilaporkan berdepan tentangan daripada sesetengah pihak dalam PAS yang berpendapat bahawa jawatan itu perlu disandang oleh pemimpin daripada kelompok ulama.
Samsuri dilihat lebih cenderung sebagai seorang teknokrat dalam PAS.
Sumber PAS itu berkata harapan parti tersebut untuk memimpin PN akan menerima tamparan tambahan sekiranya MIC menyertai gabungan itu, memandangkan Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sudah pun tidak berminat melihat PAS memegang jawatan pengerusi.
“Sebab itu, bila kita mahu mengetuai PN kena bersungguh-sungguh dan bertindak bijak. Jika tidak, Bersatu juga yang akan kekal mengetuai PN meskipun sebelum ini, PAS bersungguh-sungguh melaungkan kesediaan menerajui PN,” katanya.
Awal minggu ini, Muhyiddin berkata beliau lebih daripada bersedia untuk menyerahkan jawatan pengerusi PN kepada PAS. Namun, katanya, pendirian Bersatu adalah bahawa pengerusi PN seterusnya mestilah presiden sebuah parti.
Selain Hadi dan Muhyiddin, hanya terdapat dua lagi presiden parti dalam PN, iaitu presiden Gerakan, Dominic Lau dan presiden MIPP, P Punithan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan