"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS sindir Umno Terengganu, ‘Rumah pun tak ada’

Faiz Zainudin

Ketua Penerangan PAS Terengganu kritik sikap Umno cakap berbelit mengenai kerjasama di negeri itu.
Mohd Harun Esa
Ketua Penerangan PAS Terengganu Mohd Harun Esa dakwa ramai akar umbi Umno berjumpa pimpinan PAS nyata kekecewaan apabila pimpinan Umno tolak penyatuan ummah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: PAS Terengganu mengecam Umno negeri kerana bercakap ‘berbelit’ untuk bekerjasama, kemudian bertindak ‘menutup pintu’.

Ketua Penerangan PAS Terengganu Mohd Harun Esa turut menggambarkan Umno ‘tidak ada rumah untuk membuka atau menutup pintunya’, merujuk ketiadaan kerusi DUN.

“Umno Terengganu rumah pun tiada di Terengganu, kerusi kosong … pintu apa yang nak dibuka dan ditutup? Yang menolak penyatuan orang Melayu ini pemimpin Umno. Di Terengganu, rakyat dari pelbagai parti sangat berkehendak kepada penyatuan ummah,” katanya kepada FMT.

“Ramai akar umbi Umno datang jumpa saya dan pimpinan PAS menyatakan kekecewaan mereka apabila pimpinan Umno menolak penyatuan ummah. Walaupun pemimpin Umno menolak, akar umbi Umno dan PAS tetap meneruskan agenda ini secara harmoni.”

Sebelum ini dilaporkan Umno Terengganu menyatakan kesediaan bekerjasama dengan PAS sebagai sebahagian usaha menebus kekalahan berturut-turut dalam dua PRU sebelum ini.

Ketua Umno negeri Rozi Mamat dipetik berkata, cadangan itu selaras idea Musyawarah Nasional, bertujuan membuka ruang perbincangan antara pemimpin politik Melayu, pakar, dan profesional demi kepentingan agama, bangsa, dan negara.

Malah, beliau turut menyatakan Umno bersedia membuka pintu rundingan dengan PAS.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Umno Terengganu Nurhisam Johari bagaimanapun menjelaskan kenyataan itu sekadar ‘sindiran politik’ yang tegas terhadap kelemahan serius tadbir urus PAS di Terengganu, yang menurutnya semakin sukar dinafikan oleh sesiapa yang menilai keadaan pentadbiran negeri secara jujur.

Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur Sabtu lepas, Nurhisam turut mengimbau ‘kepahitan’ dilalui sepanjang bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN), sambil mengakui kecewa dengan perangai parti itu.

Nurhisam berkata, Umno Terengganu menderita dengan pelbagai helah PAS sambil menggesa pimpinan pusat menyerahkan autonomi untuk memilih pakatan politik, lebih-lebih lagi sekiranya melibatkan PAS dan DAP.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha PAS Terengganu Hanafiah Mat berkata, parti itu tidak pernah memaksa Umno untuk bekerjasama dengan mereka.

“Jika Umno tidak mahu bekerjasama, biarlah kalau begitu. Fokus PAS tetap bersama Perikatan Nasional (PN) hadapi PRU16,” katanya kepada FMT.

Tiada ulasan: