"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dana sekolah RM138,673 ‘ghaib’, bekas pengetua maahad diheret ke mahkamah

Harapandaily

Bekas Pengetua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Imam Nawawi (MIN), Kepala Batas, Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini.

Dia berdepan 23 pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan dana sekolah berjumlah RM138,673.80 yang didakwa berlaku pada 2019.

Tertuduh, Zaidi Salleh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Zaidi atas kapasiti sebagai pengetua dan Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) MIN telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta diamanahkan kepadanya.

Dia didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta yang diamanahkan kepadanya dengan membuat pindahan wang berjumlah RM138,673.80 ke akaun sendiri serta bagi perbelanjaan lain.

Wang tersebut sepatutnya digunakan untuk tujuan penyelenggaraan Maahad Al-Imam Nawawi (MIN).

Zaidi, 58, didakwa melakukan kesalahan itu pada Julai hingga Disember 2019 melalui 23 transaksi pemindahan wang dalam talian membabitkan nilai serendah RM300 hingga RM35,000.

Lelaki berkenaan berkhidmat sebagai pengetua MIN sejak 2019 hingga 2023 dan kini bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG10 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan dengan sebat selain boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala Zaidi diwakili peguam, Muhammad Adam Luqman Mohammad Ismail.

Hakim Zulhazmi membenarkan Zaidi diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melapor diri ke pejabat SPRM berdekatan sekali sebulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 26 Februari depan untuk penyerahan dokumen.

Tiada ulasan: