"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

41 pengkhianat terlibat ‘pasport terbang’ dikenakan tindakan, dibuang kerja

NURUL IZZATI ZAINI
 
PETALING JAYA – Seramai 41 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dikenakan tindakan tatatertib, termasuk 20 daripadanya dibuang kerja kerana terbabit kes pasport terbang dalam tempoh empat tahun sejak 2022.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Isnin lalu berhubung laporan siasatan berkaitan dakwaan aktiviti pasport terbang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau berkata, jabatan itu menghormati peranan dan fungsi EAIC sebagai badan pemantau integriti agensi penguatkuasaan, serta memandang serius setiap dapatan dan syor yang dikemukakan.

“Sehubungan itu, Jabatan Imigresen sudah dan sedang mengambil tindakan susulan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan perkhidmatan awam dan mekanisme tatatertib yang berkuat kuasa.

“Berhubung kes yang dilaporkan, kita mengesahkan bahawa tindakan tatatertib sudah dilaksanakan terhadap pegawai terbabit selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, bagi tempoh 2022 hingga 2025, seramai 41 pegawai dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati terbabit dalam kes berkaitan pasport terbang.

“Daripada jumlah itu, 20 pegawai dijatuhkan hukuman buang kerja selepas disabitkan dengan kesalahan. Tindakan ini diambil hasil siasatan dalaman yang telus dan berlandaskan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Zakaria berkata, pihaknya menegaskan bahawa setiap kes yang dirujuk oleh EAIC akan diteliti secara
menyeluruh dan ditangani dengan serius tanpa sebarang kompromi.

Jelasnya, bagi tahun 2025, sebanyak 61 kes telah dirujuk oleh EAIC dan kesemua kes terlibat dibawa ke Mesyuarat Jawatakuasa Aduan dan diambil tindakan selaras dengan proses serta peruntukan tatatertib yang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: