Dineskumar Ragu
PETALING JAYA: Pergolakan dalaman Bersatu mampu mendorong pemimpin dan ahli akar umbinya menyertai Umno, yang dilihat bersedia dan terbuka menerima kepulangan mereka, kata penganalisis.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, akar umbi Bersatu menganggap parti itu seperti ‘kapal sedang karam’ susulan pertelingkahan dengan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN), PAS, kesan krisis politik di Perlis.
“Saya rasa kekecewaan ahli akar umbi (terhadap Bersatu) akan mendorong mereka menyertai semula Umno,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata, Umno merupakan pilihan ‘sejadi’ bagi mereka yang ingin keluar Bersatu, memandangkan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu bermula sebagai serpihan Umno.
“Bersatu ditubuhkan sebagai alternatif kepada Umno. Jadi, ideologi dan prinsipnya pada dasarnya selari dengan Umno.”
Pada 15 Jan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, berkata Presiden Zahid Hamidi akan mengalu-alukan kepulangan Ahli Parlimen yang berpaling tadah kepada Bersatu.
Umno mengalami siri pembelotan besar selepas Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada 2018.
Antara Ahli Parlimen beralih kem termasuk Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Ketua Bersatu Sabah Ronald Kiandee, dan Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkongsi pandangan sama, sambil menyatakan kekecewaan umum dialami ahli Bersatu mungkin menyaksikan mereka ‘melompat kapal’.
“Landskap politik semasa menarik pemimpin Melayu untuk kembali kepada organisasi seperti Umno yang lebih berpengalaman dan mempunyai kehadiran akar umbi serta rekod prestasi yang mantap mentadbir negara,” katanya ketika dihubungi.
Awang Azman maklum bahawa Umno boleh memperkukuh akar umbinya dengan menghulurkan salam perdamaian kepada bekas ahli yang kini berada dalam Bersatu.
Beliau berkata, kepulangan bekas pemimpin Umno akan memperkuatkan kepimpinan parti tersebut dengan memanfaatkan pengalaman politik serta rangkaian dimiliki.
Jawatankuasa khas terima ahli mungkin berjaya
Mengulas penubuhan jawatankuasa menyemak dan meluluskan kepulangan bekas ahli Umno, Awang Azman berkata, mekanisme berkenaan boleh membuka jalan bagi ramai bekas ahli menyertai semula parti itu dalam jangka masa sederhana.
Azmi maklum kejayaan panel itu—yang diumumkan Zahid pada Perhimpunan Agung Umno—akan bergantung kepada autonominya untuk membuat keputusan muktamad mengenai kemasukan ahli.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan