KOSMO!

SEORANG anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Tiger Lane, Ipoh hari ini.
IPOH – Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Tiger Lane di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ketika kejadian pukul 3.30 petang itu, mangsa, Koperal Mohd. Hafizan Othman, 33, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Balai Polis Kampung Rapat untuk penugasan yang bermula pukul 4 petang hingga 11 malam.
“Bagaimanapun, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y16ZR terlibat kemalangan dengan sebuah kereta dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.
“Pemandu Perodua Myvi yang terlibat dalam nahas pula telah melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ghurab di Jalan Kuala Kangsar esok. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan