Sharifah Mahsinah Abdullah
KOTA BHARU: Sepasang kekasih masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh dan lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki di Kampung Gondang, Ketereh, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Azhar Mokhtar menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap Maizatul Shima Abdullah, 25, manakala kekasihnya, Muhammad Za’im Syakir Sha’ari, 24, dihukum penjara tujuh tahun.
Mahkamah memerintahkan hukuman kedua-dua tertuduh berkuat kuasa dari tarikh mereka ditahan.
Kedua-duanya turut diperintahkan membayar pampasan sebanyak RM2,500 setiap seorang kepada keluarga mangsa mengikut Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah.
Mereka berdepan hukuman penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar pampasan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa secara bersama menyebabkan kematian Muhamad Fahmi Adli Mat, 24, di sebuah tanah perkuburan Islam lama di Kampung Gondang, antara jam 10 malam pada 14 Mei 2022 hingga 1 pagi keesokan harinya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, Maizatul diwakili peguam Azahir Nasir dan Nurul Amira Mohd Zaidi, manakala Muhammad Za’im diwakili Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Fatini Athirah Baharin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hazwanie Husain Bustari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan