2 penguat kuasa direman kes rasuah RM1 juta lindungi pekerja asing
FMT Reporters
Turut direman tiga ejen bagi siasatan kes rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap pekerja asing di bawah seliaan sebuah agensi.

Lima individu dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk mendapat perintah tahanan reman dimohon SPRM. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA: Dua pegawai sebuah agensi penguat kuasa persekutuan direman lima hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta daripada sebuah agensi pekerja asing.
Turut ditahan reman tiga lagi suspek terdiri ejen pekerja asing.
Kelima-lima suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 40-an hingga 60-an, ditahan antara 10 pagi hingga 4 petang semalam dalam operasi di Selangor serta Johor.
Perintah reman sehingga Ahad dikeluarkan Majistret Dhilip Nair R N Atchuthan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi tadi.
Rasuah itu dipercayai sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pekerja asing di bawah seliaan agensi pekerja asing terbabit.
Pengarah SPRM Johor Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) dan 16(b)(B) Akta SPRM 2009.
Siasatan kes ini adalah bermula daripada operasi yang dibangunkan oleh bahagian perisikan SPRM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan