Harian Metro

Sungai Petani: Empat lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan berpakat menjalankan aktiviti penipuan dalam talian bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan selepas tertuduh memaklumkan tidak memahami bahasa Melayu ketika pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Empat tertuduh ialah Rajibul Islam, 32; Muhammad Tawheed, 26; Forkan Ali, 23; dan Mohamad Jahir Uddin, 20.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan pakat jahat dengan bersetuju menjalankan aktiviti penipuan dalam talian di sebuah premis di tingkat satu, Jalan Pahlawan, Taman Lagenda Indah, di sini, pada 9.30 malam, 21 Oktober lalu.
Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Mohd Noor dan kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan.
Semua tertuduh turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 10 Januari 2027 untuk sebutan semula kes bagi membolehkan jurubahasa dilantik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan