V Anbalagan
PUTRAJAYA: Seorang guru sekolah menengah berusia 47 tahun ditambah hukuman penjara dari empat tahun kepada 12 tahun selepas gagal dalam rayuan terhadap sabitan kerana menyerang seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun secara seksual.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Azman Abdullah turut menaikkan hukuman dua sebatan terhadapnya, kepada tiga sebatan.
Azman yang bersidang bersama Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy berkata, mahkamah menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 60(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk menaikkan hukuman itu walaupun pendakwaan tidak memfailkan rayuan balas.
Katanya, hukuman lebih tegas bertujuan memastikan perayu menyesal mengambil kesempatan atas jawatannya sebagai seorang guru.
“Ini juga amaran kepada semua guru di luar sana mengenai akibat menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai orang yang mempunyai kuasa,” katanya.
Mahkamah mengeluarkan perintah komital terhadap guru itu untuk memulakan hukuman penjaranya hari ini memandangkan dia sebelum ini dilepaskan atas jaminan sehingga rayuan berkenaan diselesaikan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Butterworth, Pulau Pinang, pada awal Mac 2019.
Menurut kes pendakwaan, guru berkenaan menjemput remaja itu dari taman permainan berhampiran rumah mangsa dan membawanya makan di sebuah restoran makanan segera. Dia kemudian membawa gadis itu ke rumah berkenaan sebelum menyerangnya secara seksual.
Mangsa pada mulanya merahsiakan kejadian itu kerana takut selain bimbang kesan terhadap maruah keluarganya.
Perkara itu terbongkar selepas bapa tiri mangsa membuat laporan polis pada 2020, disusuli laporan oleh remaja itu sendiri pada Jun 2021.
Mahkamah Sesyen sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana serangan seksual fizikal.
Mahkamah turut memerintahkan penjara tambahan dua tahun di bawah Seksyen 16(1) akta sama kerana tertuduh melakukan jenayah itu ketika memegang jawatan amanah.
Dua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara berasinggan bererti keseluruhannya tertuduh sepatutnya menjalani hukuman selama empat tahun.
Hari ini, Mahkamah Rayuan menaikkan hukuman penjara pertama di bawah Seksyen 14(a) dari dua tahun kepada 10 tahun, manakala dua sebatan dinaikkan kepada tiga.
Hukuman penjara dua tahun di bawah Seksyen 16(1) dikekalkan tetapi dijalankan secara berasingan iaitu selepas tertuduh selesai tempoh 10 tahun. Susulan itu dia akan menjalani hukuman penjara 12 tahun.
Guru itu juga akan diletakkan di bawah pemantauan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman-hukumannya.
Timbalan Pendakwa Raya S Sarulatha hadir bagi pihak pendakwaan manakala Alif Ahmad Tarmizi mewakili perayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan