BERNAMA

Sebuah helikopter Mi-17V5 milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD) terhempas ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran hutan di Kalimantan Tengah.
JAKARTA – Seorang maut, manakala dua lagi hilang selepas helikopter Mi-17V5 milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD) terhempas ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran hutan di Kalimantan Tengah, hari ini.
Jabatan Penerangan TNI AD berkata, helikopter yang dinaiki lapan kru itu terhempas di perairan Sungai Perlu, Danau Sembuluh, Seruyan, ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran di kawasan Taman Nasional Tanjung Puting (TNTP) kira-kira pukul 11.18 pagi waktu tempatan.
Helikopter itu berlepas dari Kuala Pembuang pada pukul 9.55 pagi menuju Telaga Pulang sebelum terhempas ketika mengambil air bagi operasi pemadaman kebakaran dari udara (water bombing).
“Seorang kru meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Pembuang, manakala lima lagi berjaya diselamatkan dan menerima rawatan di hospital sama.
“Dua lagi kru masih hilang. Operasi mencari dan menyelamat diteruskan oleh pasukan gabungan melalui laluan udara dan air,” katanya dalam satu kenyataan.
Punca nahas masih dalam siasatan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan