"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tujuh warga asing ditahan disyaki edar dadah bernilai RM1.08 juta

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Tujuh warga asing termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah susulan serbuan di dua premis di Bukit Tengah, di sini, pada 1 November lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.50 tengah malam, semua suspek berusia antara 25 hingga 38 tahun berkenaan ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, hasil pemeriksaan di kedua-dua premis itu membawa kepada penemuan serta rampasan dadah disyaki jenis serbuk 'methylenedioxymethamphetamine' (MDMA) dan ketamin dengan anggaran nilai keseluruhan RM1.08 juta.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada tujuh tangkapan positif dadah jenis methamphetamine, manakala lima lagi negatif.

"Semakan rekod jenayah lampau mendapati kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah atau jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bermula 1 hingga 7 November ini bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Nik Aminuddin berkata, pihak polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah menerusi tindakan penguatkuasaan serta risikan secara berterusan.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Aminuddin berkata, pihaknya sedang mengesan seorang wanita bagi membantu prosiding perbicaraan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Butterworth.

Katanya, wanita berkenaan dikenali Nazatul Syuhada Ali, 30, dipercayai saksi penting diminta untuk hadir ke mahkamah pada 10 hingga 11 November ini pada jam 8 pagi.

"Alamat terakhir Nazatul Syuhada direkodkan di 759 E4, Jalan Pangkalan Tok Keramat, Bukit Tengah, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

"Pengesanan saksi ini adalah bagi membantu menyelesaikan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sedang dalam perbicaraan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai wanita terbabit boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Norfirdaus Azimi Roslan di talian 013-4369489.

Tiada ulasan: