Juwan Riduan

Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah gerabak kereta api di Tenom. – Foto Bomba
TENOM: Seorang lelaki maut selepas digilis kereta api ketika dalam perjalanan pulang dari kebun, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 63 tahun ditemukan tersepit di bawah gerabak kereta api yang dalam perjalanan dari Beaufort menuju ke Tenom.

Mangsa yang mempunyai masalah pendengaran dipercayai menggunakan troli kayu buatan sendiri untuk bergerak melalui landasan kereta api dari Kampung Pangi menuju ke pekan Tenom.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung kejadian itu pada jam 1.20 tengah hari.
Beliau berkata, seramai enam anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seorang lelaki berada di bawah gerabak kereta api.
Menurut Mudi, mangsa berjaya dikeluarkan dan dipindahkan ke tempat selamat menggunakan pengusung sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Beliau memaklumkan, pasukan bomba berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi kejadian berikutan akses terhad dan tidak dapat dilalui jentera bomba.
Katanya, anggota bomba terpaksa mendapatkan bantuan penduduk kampung yang menyediakan troli bermotor buatan sendiri untuk meneruskan perjalanan ke lokasi kejadian.
“Mangsa yang mengalami patah tulang kaki dan badan serta kecederaan di kepala kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.04 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan