"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bankrapkan perasuah kembalikan keyakinan rakyat tiada yang kebal

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Tindakan membankrapkan pesalah rasuah mampu memulihkan keyakinan rakyat, kata sebuah pertubuhan antirasuah yang menegaskan langkah itu mesti dilaksanakan secara adil dan tidak selektif.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata pendekatan itu menghantar mesej tegas sesiapa yang menyeleweng wang rakyat akan hilang sepenuhnya hasil jenayah mereka, tanpa pengecualian.

“Pendekatan ini juga membawa keadilan restoratif, bukan sekadar menghukum tetapi mengembalikan hak rakyat.

“Ia lebih berani berbanding hukuman tradisional yang hanya memenjarakan pesalah tanpa menuntut semula harta yang dicuri,” katanya kepada FMT.

Jais mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang memberi amaran perasuah perlu dibankrapkan supaya mereka tidak dapat menikmati harta yang diperoleh secara haram.

Menurutnya, usaha pemulihan aset akan dipertingkatkan tahun depan selaras strategi SPRM mengurangkan ketirisan ke tahap maksimum dan memastikan perasuah tidak menikmati hasil jenayah mereka.

Mengulas lanjut, Jais berkata langkah itu sejajar dengan prinsip antirasuah antarabangsa yang menegaskan hukuman tidak sepatutnya terhenti pada pemenjaraan semata-mata, sebaliknya mesti memastikan pesalah kehilangan semua keuntungan haram.

“Negara dapat mengembalikan hak rakyat tanpa bergantung semata-mata kepada hukuman jenayah,” katanya.

Beliau berkata amalan global menunjukkan pemulihan aset memberikan impak besar dalam usaha membanteras rasuah, termasuk di negara seperti Switzerland dan United Kingdom, di mana pendekatan itu digunakan untuk menekan elit politik dan kleptokrat.

Bagaimanapun, Jais mengingatkan tindakan itu akan dilihat sebagai selektif jika hanya dikenakan terhadap individu tertentu sebaliknya menyeluruh tanpa mengira batas pangkat atau jawatan.

Pakar Shahul Hamid Abd Rahim berkata tindakan memulihkan aset dan membankrapkan perasuah disifatkan mekanisme pencegahan yang sangat berkesan kerana menghapuskan sepenuhnya motif jenayah.

Beliau berkata pengalaman antarabangsa menunjukkan kecenderungan melakukan rasuah menurun secara ketara apabila aset haram berjaya dikesan, dibekukan dan dirampas.

“Langkah ini juga mengurangkan keupayaan perasuah untuk meneruskan operasi atau mempengaruhi saksi, khususnya dalam kes berprofil tinggi.

“Ia menetapkan syarat yang jelas bahawa tiada sesiapa boleh menikmati walau satu sen hasil rasuah, sekali gus mengurangkan risiko jenayah,” katanya.

Bagaimanapun, Shahul berkata pihak berkuasa bakal berdepan cabaran untuk mengesan dan membawa pulang aset, terutama yang disimpan di luar negara kerana struktur kewangan kompleks seperti dana amanah, proksi dan akaun luar pesisir.

“Oleh itu, kita memerlukan kepakaran tinggi dalam forensik kewangan dan siasatan kewangan untuk memastikan semua aset ini dapat dikembalikan,” katanya.

8 kenderaan, rumah terbakar bengkel cat dipanah petir

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Lapan kenderaan dalam sebuah bengkel cat serta sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Sungai Sedu, Banting, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kebakaran dipercayai berlaku jam 5.10 petang dan disedari orang awam sebelum melaporkannya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

"Hasil temubual bersama JBPM Selangor, kebakaran dipercayai berpunca daripada panahan petir yang berlaku jam 5 petang.

"Kebakaran mengakibatkan kemusnahan lapan kenderaan yang berada dalam bengkel, barang seperti cat dan alatan bengkel, serta sebuah rumah yang terletak bersebelahan.

"Keadaan berjaya dikawal sepenuhnya dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, api berjaya dipadamkan jam 7.20 malam dan pemeriksaan lanjut masih dilakukan bagi memastikan tiada sisa api yang masih menyala.

"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan," katanya.

Nafi tuduhan Rafizi, SPRM tegas jalan siasatan berdasarkan aduan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan seorang bekas menteri bahawa ia digunakan untuk menyiasat calon-calon bertanding pada pemilihan PKR Mei lepas.

Menyifatkan tuduhan itu tidak benar mahupun berasas, SPRM menegaskan pihaknya hanya akan menjalankan siasatan berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima.

“Setiap aduan yang mempunyai asas akan melalui proses pengesahan dan siasatan mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan.

Terdahulu dilaporkan bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mendakwa seorang calon yang sehaluan dengannya didakwa, ditahan dan disiasat SPRM.

Rafizi yang tewas dalam persaingan jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR itu mendakwa, pegawai SPRM mengepung rumah individu terbabit, menakutkan isteri dan anak-anaknya.

Menjelaskan dakwaan itu, SPRM berkata, pegawai penyiasatnya hadir ke rumah tersebut untuk bertemu individu terbabit serta mendapatkan bahan bukti.

Namun, selepas individu tersebut didapati tiada di rumah, pegawainya beredar.

“Pada keesokan hari, individu berkenaan telah hadir sendiri ke pejabat SPRM, rakaman percakapannya diambil dan beliau dibebaskan tanpa penahanan,” kata SPRM menambah, semua tindakannya adalah selaras dengan keperluan dan tatacara siasatan.

Sehubungan itu, SPRM menyeru semua pihak agar tidak membuat tuduhan tidak berasas secara terbuka tanpa bukti kerana ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan negara.

“Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi yang tersedia, seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM. Ini mekanisme yang sah dan telus untuk menilai sebarang dakwaan salah laku.”