"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

700 mangsa bergelap di PPS kerana turut dilanda banjir

PPS pula dilanda banjir, 700 mangsa bergelap

Nor Fazlina Abdul Rahim
am@hmetro.com.my
Pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’ Deh dilanda banjir dan bergelap. FOTO Ihsan penduduk
Pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’ Deh dilanda banjir dan bergelap. FOTO Ihsan penduduk
Rantau Panjang: Bagaikan jatuh ditimpa tangga. Itu situasi yang boleh digambarkan lebih 700 mangsa banjir yang berlindung di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh apabila pusat pemindahan sementara (PPS) berkenaan turut dilanda banjir awal pagi ini.

Susulan kenaikan paras air itu menyebabkan mangsa banjir yang berada di tingkat bawah terpaksa berpindah ke tingkat atas.

Malah, lebih merumitkan apabila mereka terpaksa bergelap susulan elektrik di PPS berkenaan dimatikan.

Penduduk dari Kampung Tersang, Mohd Irwan Faizal, 40, yang tinggal di PPS berkenaan berkata, air mula melimpah masuk ke PPS berkenaan sejak jam 3 pagi tadi.

"Air agak laju kali ini memandangkan Sungai Golok merekodkan paras tertinggi iaitu 11.34 meter lagi tadi. Keadaan kami lebih sukar apabila elektrik juga dimatikan jam 3.30 pagi tadi.

"Sejak pagi tadi juga tiada makanan disediakan kerana bekalan makanan tidak dapat dihantar mungkin disebabkan paras air tinggi.

"Mangsa banjir di sini terpaksa membeli sendiri makanan untuk pagi tadi. Mungkin selepas ini bekalan makanan akan sampai," katanya.

PPS SK Gual To' Deh mula dibuka Ahad lalu selepas beberapa kampung di kawasan sekitarnya dilanda banjir dan kini mempunyai 784 mangsa membabitkan 246 keluarga.

Terdahulu media melaporkan, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan paling tinggi iaitu 11.37 meter sehingga pagi ini.

Paras air Sungai Golok itu terus meningkat berbanding malam tadi 10.9 meter yang antara lain disebabkan tiga wilayah di Selatan Thailand turut berdepan banjir teruk.

Sungai Golok antara tujuh sungai yang melepasi paras bahaya setakat pagi ini.

Tiada ulasan: