FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang gadis 17 tahun ditahan kerana disyaki membaling bom petrol sehingga menyebabkan sebuah kereta terbakar di Taman Damai Jaya, Skudai, semalam.
Polis merampas dua notis ugutan tertera nombor telefon Singapura dan ayat “Owe money pay today is a warning if you still don’t want reply I will come burn”.
Ketua Polis Iskandar Puteri, M Kumarasan berkata seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu pada 3 pagi itu.
“Mangsa berada di rumah dan menyedari keretanya yang diparkir di pekarangan rumah dalam kawasan berpagar terbakar,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, anggota dari Balai Polis Nusa Bestari bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri menahan suspek pada 3.50 pagi dan hasil semakan mendapati dia tiada rekod lampau serta negatif dadah.
“Suspek dikatakan menerima upah daripada Ah Long untuk membuat ugutan jenayah dengan cara khianat menggunakan api ke atas kediaman mangsa yang gagal melunaskan pinjaman wang.
“Selain notis ugutan, kami turut merampas dua botol kaca serta satu tong petrol,” katanya sambil menambah suspek direman enam hari hingga 2 Dis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) dan Seksyen 507 kanun sama (ugutan jenayah melalui komunikasi tanpa nama).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan