"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes culik remaja perempuan 15 tahun, 7 individu ditahan polis

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Tujuh individu ditahan dipercayai terbabit dalam kes culik seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Taman Kem, Pelabuhan Klang pada 16 November lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kesemua remaja termasuk dua perempuan berusia 15 hingga 19 tahun itu ditahan di Shah Alam dan Kuala Lumpur pada 18 dan 19 November lalu.

Beliau berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada bapa mangsa yang berusia 47 tahun memaklumkan anak perempuannya keluar dari rumah pada jam 4 petang, 16 November lalu dan tidak pulang sehingga jam 6.30 petang.

Katanya, bapa mangsa memberitahu dia menerima pesanan suara daripada nombor telefon anaknya memintanya mengambil remaja itu di Subang dan turut dihantar lokasi kedudukan.

"Menerusi pesanan suara itu, mangsa dipercayai sedang bertengkar dengan seorang lelaki. Apabila bapanya ke lokasi yang diberikan, mangsa tiada di situ.

"Bapa mangsa kemudian menerima pesanan yang memaklumkan mangsa akan dilepaskan di Kuala Lumpur.

"Apabila bapa mangsa menyatakan akan membuat laporan polis, suspek bertindak mengugut untuk menjual mangsa serta meminta wang ganti rugi jika mahu mangsa dipulangkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuat serbuan di sebuah pangsapuri di Seksyen 7, di sini, pada jam 11 malam, 18 November lalu dan menemui mangsa dalam keadaan selamat.

Menurutnya, menerusi serbuan itu, polis menahan lima remaja termasuk dua perempuan berusia 15 hingga 19 tahun.

"Melalui tangkapan pertama, pada jam 1.10 pagi, 19 November lalu, polis menahan dua lagi remaja lelaki berusia 16 dan 18 tahun di perkarangan sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

"Kesemua tangkapan tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya.

Hoong Fong berkata, kesemua suspek masing-masing direman sehari dan empat hari sehingga 22 November lalu.

"Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini untuk menghubungi talian 03-33762222 bagi membantu siasatan," katanya.

Tiada ulasan: