"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rasuah: Koperal polis dipenjara 3 tahun, denda RM80,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang anggota polis dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM80,000 selepas didapati bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM16,000 dua tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Awang Kerisnada Awang Mahmud juga memerintahkan Azrol Khalil, 37, yang berpangkat koperal, dipenjara setahun jika gagal membayar denda.

Azrol didakwa menerima wang tunai RM16,000 daripada seorang lelaki berusia 50 tahun sebagai dorongan menutup kes jenayah komersial terhadap individu yang sedang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Gombak.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Batu Caves pada 7 Feb 2022 mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Awang Kerisnada berkata, mahkamah mendapati Azrol tidak amanah apabila memperoleh wang secara rasuah justeru tidak layak memakai uniform pasukan keselamatan.

“Tertuduh sebagai anggota polis mengugut mangsa untuk membayar sejumlah wang rasuah, semua ini dilakukan kerana tertuduh mempunyai kedudukan sebagai anggota polis, ini bermakna tertuduh tidak menjalankan amanah,” katanya.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam PG Cyril yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan hukuman dan menaikkan jumlah jaminan kepada RM10,000 daripada RM8,000.

Terdahulu, Cyril memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum terhadap Azrol kerana ini ialah kesalahan pertamanya.

Tambahan, kata Cyril, anak guamnya telah digantung tugas dengan separuh gaji berbanding gaji asal, iaitu RM2,700 sebulan selain perlu menanggung isteri serta anak.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai isyarat kepada orang awam supaya tidak terlibat dengan jenayah itu.

“Ini juga selaras dengan dasar perangi rasuah. Tertuduh telah menggunakan nama-nama pegawai atasannya dan merosakkan nama polis,” katanya.

Tiada ulasan: