"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rebut jawatan tinggi cetus pergolakan serius dalam PN

Nora Mahpar

Mohammad Tawfik Yaakub dari UM berkata pertikaian itu boleh menyebabkan perpecahan serius jika tidak ditangani segera.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis berpandangan Perikatan Nasional (PN) kini berdepan pergolakan serius susulan pertikaian jawatan tertinggi yang diramal boleh mencetuskan kemungkinan salah satu parti keluar gabungan.

Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) berkata, pertikaian bermula dengan jawatan pengerusi PN minggu lalu, disusuli ‘pengumuman awal’ Muhyiddin Yassin berhubung pemilihan Ketua Bersatu Selangor Azmin Ali sebagai setiausaha agung gabungan, didakwa tanpa rundingan.

“Sudah tidak ada komunikasi baik antara pemimpin dalam PN sehingga perlu memohon jawatan dalam media sosial sedangkan ada platform sesuai menerusi mesyuarat,” katanya merujuk hantaran di Facebook oleh Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden, kelmarin.

“Bersatu semakin tamak membolot jawatan penting dalam PN, manakala PAS semakin sedar mereka sedang dipergunakan oleh Bersatu untuk kepentingan politiknya semata-mata.

“Sudah tidak ada persefahaman dan sudah semakin hancur kepercayaan antara satu sama lain sehingga berebut jawatan secara terbuka,” katanya kepada FMT.

Afnan mencadangkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilantik setiausaha agung PN menggantikan Hamzah Zainudin, sesuai dengan pengalaman dan kekananan dalam PN yang kini memainkan peranan timbalan setiausaha agung PN.

Cadangan itu menyusul selepas Sinar Harian melaporkan pengesahan Muhyiddin bahawa Azmin akan memikul tugas setiausaha agung Bersatu dan PN bagi menggantikan Hamzah yang menang timbalan presiden Bersatu pada pemilihan parti awal bulan ini.

Minggu lalu, beberapa pemimpin PN antaranya Timbalan Presiden Faizal Azumu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dan Presiden Gerakan Dominic Lau saling berbalas kenyataan berhubung isu pengerusi dan calon perdana menteri mereka untuk PRU16.

Faizal dan Lau mempertahankan Muhyiddin manakala Hashim menegaskan PAS lebih layak memimpin kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen serta mempunyai jentera akar umbi kuat, selain mendesak perbincangan mengenainya diadakan.

Perpecahan besar mungkin berlaku

Tawfiq berkata, kenyataan berbaur tuntutan dikeluarkan pemimpin utama PAS seperti Hashim serta Afnan menunjukkan parti itu semakin sedar kekuatannya boleh bergerak solo tanpa PN.

Katanya, PAS juga mempunyai sejarah tidak boleh bekerjasama untuk jangka panjang dengan mana-mana parti atau gabungan, merujuk tindakannya keluar Barisan Nasional (1977), Pakatan Rakyat (2015) dan Muafakat Nasional (2020).

“Masalah ini membuka mata pemimpin PAS untuk menentang secara terbuka keputusan dan tindakan daripada pemimpin Bersatu yang membelakangkan mereka. Saya jangka perpecahan besar-besaran mungkin berlaku jika tiada usaha meredakan ketegangan yang semakin bertambah serius ini,” katanya.

Menurutnya, bagi mengurangkan ketegangan itu segala keputusan besar membabitkan pelantikan pemimpin utama PN seperti setiausaha agung sepatutnya dibincangkan antara komponen bukan diumum secara individu.

“Kerjasama politik memerlukan hubungan dan komunikasi baik, malah sebarang keputusan perlu dirunding. Tetapi saya lihat apabila pengumuman pelantikan dibuat secara tiba-tiba, ini memperlihatkan ketegangan hubungan antara pemimpin PAS dengan Bersatu,” katanya.

Tindakan Muhyiddin ibarat ketepi suara PAS

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan pula berkata, beliau pelik melihat Bersatu seolah-olah tidak mengambil berat pandangan PAS berhubung perkara sebesar itu.

“Adakah mereka memandang remeh kerana tahu PAS tidak akan berbuat apa-apa dalam struktur PN dan akan kekal (dalam PN)? Mungkin itu dalam fikiran mereka (Bersatu).

“Saya lihat tiada rasa hormat antara rakan-rakan sekutu dan ini dengan PAS (parti) paling kuat dalam PN, apatah lagi dengan parti lain seperti Gerakan yang dikatakan langsung tidak mempunyai pengaruh dan kekuatan dalam PN,” katanya.

Beliau berkata, seharusnya ini tidak berlaku dan PN perlu selesaikan segera masalah calon perdana menteri, setiausaha agung dan mungkin ketua pembangkang sebelum PRU16.

Tiada ulasan: