Lima jam berpaut pada pokok
Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my
DUA beranak yang diselamatkan selepas berpaut lima jam pada pokok apabila perahu dinaiki terbalik. FOTO Ihsan Bomba.
Rantau Panjang: Dua beranak berhadapan detik cemas apabila terpaksa berpaut di pokok selama lima jam selepas perahu dinaiki mereka terbalik akibat arus deras di Kampung Tasek, Lubok Gong, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa, berkata mangsa wanita berusia belasan tahun dan ibunya yang berumur 50 an, itu mendakwa mereka keluar dari kediamannya sekitar jam 9 malam.
Katanya, anggota bomba pada awalnya menjalankan operasi menyelamat orang kurang upaya (OKU) di kampung berkenaan kira-kira 12 tengah malam , sebelum penduduk kampung memaklumkan insiden membabitkan dua beranak itu.
"Anggota kemudian berjalan meredah banjir sejauh 1.5 kilometer (km) dan cuba membantu menggunakan tali namun tidak berjaya.
"Mereka kemudian meminjam bot penduduk kampung dan masuk sekali lagi untuk membantu.
"Mereka dalam keadaan berpelukan sambil berpegang pada sebatang pokok sebelum anggota membawa mereka keluar menggunakan perahu.
"Kami berhadapan dengan rintangan arus deras, cuaca yang gelap selain serangan kerengga ketika proses menyelamat dilakukan," katanya.
Shapawi berkata, dua beranak itu kemudian dihantar ke surau di Kampung Lubok Gong, di sini untuk berlindung di situ sementara air surut dan selamat untuk pulang.
"Operasi menyelamat selesai kira-kira 3 pagi.
"Penduduk diharap agar cakna akan keadaan sekitar selain jangan bertindak melulu sehingga boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan diri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan