Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
TANAH runtuh di Kampung Bukit Apit menyebabkan tiga orang terperangkap. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Kuala Berang: "Saya dengar suara mangsa meminta tolong namun saya tidak dapat buat apa-apa kerana tidak tahu keberadaan mereka," kata Danial Arabi, 36, individu pertama tampil sejurus tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini, hari ini.
Danial adalah jiran kepada tiga beranak yang dilaporkan terperangkap dalam kejadian itu, dipercayai berlaku pada 4.30 petang.
Tanah runtuh menghempap tiga rumah iaitu rumah yang didiami kesemua mangsa dan dua rumah lagi yang sedang dalam pembinaan.
Menurut Danial, dia sedang berehat apabila dikejutkan dengan bunyi dentuman dan bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.
"Sebaik keluar, saya melihat tanah runtuh yang menghempap tiga rumah termasuk rumah dihuni enam beranak.
"Saya segera ke sana dan nampak seorang mangsa yang terperangkap selain mendengar suara meminta tolong.
"Saya kemudian menghubungi polis dan bomba memaklumkan kejadian berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Difahamkan, rumah berpenghuni didiami enam beranak namun ketika kejadian si ibu tidak berada di dalam rumah.
Terdahulu, media melaporkan tiga mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Apit, Ajil di sini.
Bomba menerima panggilan pada 4.59 petang sebelum pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan Wakaf Tapai bergegas ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan