Kota Bharu mula dinaiki air, penduduk bimbang banjir besar tahun ini
Harapandaily
Kota Bharu mula dinaiki air susulan hujan berterusan sejak semalam dengan pusat pemindahan sementara (PPS) mulai dibuka hari ini.
Sebanyak 17 PPS dibuka di ibu negeri Kelantan itu membabitkan 2,004 mangsa daripada 623 keluarga sehingga 7.30 malam tadi.
Bachok menjadi daerah pertama di Kelantan yang dilanda banjir pada 22 November dan kini turut ditenggelami air adalah Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Tumpat.
Setakat ini, seramai 22,038 mangsa banjir di sembilan daerah di Kelantan sedang berlindung di 129 PPS.
Menerusi perkongsian di TikTok, penduduk tempatan menyuarakan kebimbangan kemungkinan berulang kembali banjir besar setiap 10 tahun dengan kali terakhir berlaku pada 2014.
Pemilik kedai di Lundang, Kota Bharu, Master Aleyh Yusof dalam klip video turut menasihatkan penduduk agar mendapatkan bekalan makanan dan barangan keperluan yang mencukupi sebagai persediaan.
Jabatan Meteorologi hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di seluruh Kelantan hingga 29 November ini.
Turut diramal mengalami cuaca sama adalah Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut, Pahang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan