"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ukraine hilang 500,000 askar

KOSMO!

MOSCOW  – Kira-kira setengah juta askar Ukraine terbunuh atau cedera dalam perang berterusan dengan Russia, demikian menurut angka baharu yang diterbitkan oleh majalah The Economist, berdasarkan laporan risikan, ke­nyataan rasmi dan sumber lain.

Namun, The Economist  me­nyatakan bahawa sukar untuk mengira angka korban sebenar  tentera Ukraine kerana Kyiv dan sekutu-sekutunya enggan memberikan butiran lebih lanjut.

Presiden  Volodymyr Zelenskyy  mendakwa pada Februari lalu bahawa hanya 31,000 askar Ukraine telah terkorban sejak konflik dengan Russia menjadi semakin buruk pada 2022. 

Zelenskyy  juga enggan mendedahkan bilangan askar Ukraine yang cedera dengan alasan ia  akan menyebabkan Moscow me­ngetahui jumlah anggota tentera Kyiv yang berada di medan perang.

Majalah The Economist bagai­manapun memetik beberapa pegawai Amerika Syarikat sebagai berkata,  jumlah askar Kyiv yang terbunuh kini melebihi 308,000 orang. 

Menurut analisis beberapa sumber lain, angka kematian anggota tentera Ukraine yang lebih tepat adalah sekitar setengah juta dengan sekurang-kurangnya 60,000 sehingga 100,000 terbunuh.

“Mungkin 400,000 lagi askar Ukraine ‘terlalu cedera’  dan tidak dapat bertempur,” tulis majalah itu.

Ia juga memetik laman web UALosses  yang bertanggungjawab men­jejaki dan merekodkan nama serta usia askar Ukraine yang terbunuh. 

Menurut data laman web itu, Ukraine  kehilangan sekurang-kurangnya 60,435 askar atau lebih 0.5 peratus daripada populasi sebelum perangnya melibatkan penduduk lelaki dalam usia sedia  untuk berperang.

Walaupun data daripada UALosses tidak menyeluruh dan tidak semua umur askar diketahui, The Economist mencadang­kan bahawa jumlah sebenar mereka yang terbunuh dalam pertempuran adalah lebih tinggi.

Ia juga mendedahkan bahawa jumlah askar yang ‘terlalu cedera’  untuk berperang pula adalah jauh lebih besar.

“Dengan mengandaikan enam hingga lapan askar Ukraine cedera parah bagi setiap anggota tenteranya  yang terbunuh dalam pertempuran, hampir satu daripada 20 lelaki dalam usia berperang di negara itu telah mati atau terlalu cedera dan untuk berperang,” kata  majalah itu.

Awal tahun ini, Kementerian Pertahanan Russia mendakwa bahawa sejak Februari 2022, jumlah askarnya yang terjejas mencecah hampir 500,000 orang tanpa menyatakan berapa ramai yang terbunuh atau cedera.

Menurut maklumat terkini Moscow,  Kyiv juga kehilangan lebih 35,000 askar sejak Ogos lalu dalam pencerobohannya ke wilayah Kursk di  Russia.

Pada Jun lalu, Presiden Vla­dimir Putin berkata bahawa kehilangan askar Russia dalam perang itu adalah lebih kecil berbanding Ukraine.

Menurutnya, angka tersebut berdasarkan nisbah korban kira-kira seorang askar Kremlin bagi setiap lima anggota tentera Kyiv, yang maut,  katanya. – AGENSI

Tiada ulasan: