"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hukuman penjara 7 tahun, sebatan Syed Saddiq tak keterlaluan, putus Mahkamah Tinggi

FMT Reporters

KUALA LUMPUR: Hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan yang dikenakan terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram tidak keterlaluan, menurut Mahkamah Tinggi.

Hakim Azhar Abdul Hamid berkata, mahkamah mengambil kira status Syed Saddiq sebagai tokoh masyarakat dan suri teladan bagi golongan muda apabila menjatuhkan hukuman.

Ahli Parlimen Muar itu turut dikenakan denda RM10 juta.

Dia merayu hukuman itu di Mahkamah Rayuan, yang menetapkan 16 Jan untuk pengurusan kes.

“Tertuduh (Syed Saddiq) sepatutnya menunjukkan contoh lebih baik dan menjadi suri teladan bagi golongan muda,” kata Azhar dalam alasan penghakiman 22 muka surat.

“Memandangkan ini kesalahan pertamanya, beliau masih ada masa untuk membetulkan kesilapannya dan muhasabah atas apa yang berlaku.”

Pada 9 Nov tahun lepas, Syed Saddiq yang juga bekas ketua Pemuda Bersatu, didapati bersalah atas satu tuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1 juta milik sayap itu, serta satu lagi tuduhan menyalahgunakan harta berjumlah lebih RM120,000, juga milik Pemuda Bersatu.

Dia juga disabitkan bersalah atas dua tuduhan pengubahan wang haram kerana memindahkan sejumlah RM100,000 ke akaun peribadinya daripada sebuah syarikat, Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE), yang dikaitkan dengan Pemuda Bersatu.

Bagi tuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan harta, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing tiga dan dua tahun.

Syed Saddiq dijatuhi hukuman dua tahun bagi setiap tuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, dia hanya perlu dipenjarakan lima tahun kerana kesemua hukuman berjalan serentak.

Dalam keputusan mendapati Syed Saddiq bersalah pecah amanah, Azhar berkata, bekas menteri belia dan sukan itu mengarahkan dua ahli parti untuk mengeluarkan RM1 juta tanpa kebenaran pucuk pimpinan Bersatu.

“Tindakan menyembunyikan wang itu di pejabat sayap Pemuda menimbulkan inferens dia berniat jahat,” katanya.

Berhubung penyalahgunaan harta bernilai RM120,000, yang dikatakan hasil acara kutipan dana pilihan raya, mahkamah memutuskan bahawa tindakan memindahkan jumlah itu ke dalam akaunnya melanggar undang-undang.

“Dia tidak perlu memindahkan wang itu. Sebarang pembayaran boleh dibuat ke atau melalui akaun ABBE.

“Mahkamah mendapati tertuduh mempunyai niat menyalahgunakan wang itu,” kata Azhar.

Beliau berkata, mahkamah tidak boleh menerima pembelaan Syed Saddiq bahawa beliau tidak pernah mengarahkan ahli-ahli tersebut mengeluarkan wang RM1 juta itu, dan menafikan dia tahu tentang perkara itu.

“Tidak munasabah dia (sebagai bekas ketua Pemuda) berkata tidak tahu sejumlah besar wang dikeluarkan,” kata Azhar.

“Bagi pertuduhan penyalahgunaan harta dan pengubahan wang haram, tertuduh berkata, wang hasil kutipan dana itu adalah untuk membayar balik apa yang dibelanjakannya sebelum ini.

“Bagaimanapun, tiada keterangan dikemukakan untuk menyokong (alasan) pembelaan itu.”

Tiada ulasan: