Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Anggota bomba mengangkat mangsa naik je jalan raya utama sebaik berjaya dikeluarkan di dalam treler. FOTO BOMBA
Lahad Datu: Pemandu treler yang tersepit selepas kenderaan dipandunya terjatuh ke dalam gaung dekat simpang Lembah Danum, Jalan Tawau - Lahad Datu, di sini, berjaya dikeluarkan kira-kira jam 6 petang tadi.
Operasi mengeluar mangsa lelaki berusia 51 tahun itu mengambil masa hampir 12 jam berikutan kesukaran anggota bomba mengeluarkannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah terus diberikan rawatan.
Katanya, mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
"Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 6.40 petang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa yang memandu seorang diri dari Tawau ke Lahad Datu itu membawa dua kontena berisi 41.2 tan muatan Baja Borax.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung setinggi 30 meter.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan