"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penjenayah dikehendaki mati ditembak, anggota polis kena serangan jantung

Sinar Harian

SEREMBAN: Seorang lelaki yang dikehendaki polis berhubung kes jenayah terancang maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Persiaran S2/1 di sini pada Rabu.

Kejadian jam 10.30 malam itu berlaku selepas suspek berusia 38 tahun enggan memberhentikan kenderaannya untuk diperiksa polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah melakukan rondaan pencegahan di daerah ini dan telah terserempak sebuah kereta jenis Mercedes Benz dalam keadaan mencurigakan.

"Polis cuba menahan kenderaan itu untuk pemeriksaan, namun telah dirempuh oleh suspek yang kemudian turut melepaskan tembakan.

"Untuk mempertahankan diri, polis turut berbalas tembakan dengan suspek yang menyebabkannya maut di tempat kejadian," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Ujarnya, pemeriksaan pada kereta tersebut telah menemui seorang lelaki tempatan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu turut menemui sepucuk pistol jenis Llama 9mm bersama dua peluru.

"Semakan mendapati suspek yang berusia 38 tahun mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan jenayah serta satu rekod dikehendaki bersabit kes jenayah terancang bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Pulau Pinang.

"Kejadian itu turut mengakibatkan seorang anggota polis mengalami serangan jantung dan kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Jaafar," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971.

"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada suspek terlibat dalam mana-mana kes di Negeri Sembilan," katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan: