Adun PAS tarik balik kenyataan, minta maaf dakwa Anwar pemimpin ke-17 terkaya
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
MOHD Yusni Mat Piah. FOTO arkib NSTP
Georgetown: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Yusni Mat Piah (PN-Penaga), hari ini menarik balik kenyataannya berhubung kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam senarai pemimpin dunia terkaya.
Yusni turut memohon maaf kepada semua ahli Dewan selepas ditegur oleh Speaker Law Choo Kiang.
Beliau juga mengakui bahawa kedudukan yang menjadi asas kepada dakwaannya mungkin tidak boleh dipercayai.
"Saya menarik balik kenyataan saya mengenai Anwar berhubung kedudukan pemimpin dunia dan memohon maaf kepada semua ahli dewan.
"Bagaimanapun mengenai pengisytiharan harta dan aset itu, adalah benar," katanya pada sidang berkenaan.
Yusni ketika perbahasan pada Selasa lalu mendakwa Anwar sebagai Perdana Menteri ke-17 terkaya di dunia dengan merujuk kepada laman web kewangan peribadi UK.
Permohonan maaf dibuat selepas Adun PKR, Gooi Hsiao Leung dan Lee Boon Heng, membangkitkan perkara itu dengan meminta Speaker mengambil tindakan terhadap Yusni atas kenyataannya.
Bagaimanapun Choo Kiang hari ini menyatakan bahawa laman web UK itu sendiri mendakwa ia tidak menjamin ketepatan laporannya.
Choo Kiang berkata, kekayaan Anwar tidak akan meletakkannya dalam kalangan yang terkaya di peringkat global atau bahkan di negeri kelahirannya, Pulau Pinang.
"Sebagai Adun penggal kedua, kamu sepatutnya lebih berhati-hati sebelum berkongsi maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan Dewan.
"Kita ada peraturan dewan, jangan merujuk artikel yang tidak boleh dipercayai dan tidak buat serangan peribadi atau sindiran yang mencemarkan nama baik perdana menteri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan