Lelaki dapat pampasan hampir RM2 bilion kerana ‘adik’ sudah mati
KOSMO!
WASHINGTON – Panel juri di negeri New Mexico, Amerika Syarikat (AS) menganugerahkan pampasan AS$412 juta (RM1.8 bilion) kepada seorang lelaki berusia 72 tahun, lapor portal berita The Sacramento Bee semalam.
Lelaki itu menyaman sebuah pusat perubatan kerana mendakwa dia diberikan suntikan tidak perlu sehingga merosakkan zakarnya,
Panel juri memberikan pampasan AS$37 juta (RM164 juta) dan ganti rugi punitif berjumlah AS$375 juta (RM1.6 bilion) pada Isnin lalu. Kes tersebut dibicarakan di sebuah mahkamah daerah Bernalillo, demikian menurut dokumen mahkamah.
Peguam lelaki itu berkata, keputusan mahkamah itu merupakan anugerah penyelewengan perubatan terbesar dalam sejarah, manakala selepas mengambil kira kadar faedah, pampasan itu dijangka melebihi AS$550 juta (RM2.4 bilion).
“Disebabkan penipuan korporat dan ketamakan, anak guam saya berdepan penderitaan yang tidak dapat dipulihkan dan memberi kesan mendalam terhadap tubuh badan serta kehidupannya.
“Zakar lelaki berusia 72 tahun itu ‘hancur’ sepenuhnya,” kata seorang lagi peguamnya, Nick Rowley.
Tuntutan itu menamakan NuMale iaitu sebuah syarikat perubatan di Albuquerque, Bernalillo dan beberapa orang yang terlibat dengan firma itu sebagai defendan.
Sementara itu, Presiden Pusat Perubatan NuMale, Barad Palubicki berkata: “Walaupun kami menghormati proses kehakiman, kerana prosiding undang-undang yang sedang berlangsung, kami tidak boleh mengulas mengenai butiran khusus kes tersebut buat masa ini.”
Lelaki yang mengemukakan tuntutan mahkamah itu mendapatkan rawatan di pusat perubatan Albuquerque NuMale pada 2017 untuk terapi penggantian testosteron dan penurunan berat badan, kata peguam serta dokumen mahkamahnya. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan