FMT Reporters
PETALING JAYA: Penghantar makanan dipenjara enam tahun dan satu sebatan selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Ampang kerana menikam isteri dan anaknya dengan pisau, pada Julai lalu.
Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Syarifuddin Agussalim, 34, susulan pengakuan terhadap dua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak dari tarikh tangkap, bermula 28 Julai.
Tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan isteri berusia 33 tahun dan anak lelakinya berusia enam tahun dengan menggunakan dua bilah pisau.
Perbuatan itu dilakukan di belakang bangunan sebuah kedai serbaneka, di Ampang, pada 6 petang, 27 Julai, lapor Berita Harian.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat.
Mengikut fakta kes, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mangsa ditikam di bahagian tangan di lokasi kejadian menyebabkan kedua-dua tercedera.
Hasil siasatan lanjut mendapati punca pergaduhan antara mangsa dan suspek disebabkan lelaki itu tidak mahu bercerai dengan isterinya.
Syarifuddin yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dan berjalan serentak dari tarikh tangkap.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin memohon hukuman berbentuk pengajaran bagi kedua-dua pertuduhan.
“Kesalahan dilakukan tertuduh adalah kes serius berikutan membabitkan penggunaan senjata iaitu pisau sehingga mencederakan isteri dan anak kandungnya.
“Ini juga sebagai pengajaran kepada orang dan kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan