N Faizal Ghazali
Hanya 70 orang yang dibenarkan untuk menyaksikan hukuman sebat terhadap pesalah khalwat berulang di Terengganu yang ditetapkan dilaksanakan di sebuah masjid pada 6 Disember ini.
Perkara itu dimalumkan seorang sumber yang berkata perkara itu diputuskan semasa mesyuarat gerak kerja pelaksanaan hukuman sebatan di luar penjara bagi pesalah syariah.
Dia berkata mesyuarat berkenaan dibuat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, petang semalam. Hukuman tersebut dijadual dilakukan di masjid tersebut.
Mesyuarat itu antaranya dihadiri ketua-ketua jabatan dan agensi berkaitan serta wakil kerajaan negeri Terengganu, katanya.
“Hasil perbincangan menetapkan seramai 70 orang sahaja akan dibenarkan untuk hadir dan menyaksikan hukuman sebatan dilaksanakan.
“Seramai 10 orang akan dipilih oleh pihak pengurusan masjid terdiri daripada kariah setempat.
“60 orang lagi, termasuk pihak media perlu mendapatkan kebenaran pihak mahkamah,” kata sumber yang rapat dengan kerajaan negeri itu kepada Malaysiakini.
“60 orang yang dibenarkan (menyaksikan hukuman) itu antaranya wakil rakyat (Terengganu), wakil NGO dan lain-lain wakil agensi kerajaan yang berkenaan sahaja,” katanya lagi.
Malaysiakini sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu berhubung perkara itu.
Pada 20 November lalu, seorang lelaki berstatus duda muncul sebagai pesalah pertama yang akan dihukum sebat secara terbuka.
Kesalahan yang dilakukan duda terbabit - melakukan kesalahan khalwat berulang sehingga tiga kali.
Hakim kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, menetapkan hukuman tersebut terhadap Mohd Affendi Awang, 42, yang mengaku salah atas dakwaan melakukan khalwat kali ketiga.
Mahkamah memerintahkan hukuman enam sebatan dilaksanakan selepas solat Jumaat pada 6 Disember ini.
Mohd Affendi didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Dia turut dikenakan denda RM4,000, dan enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Dia yang bekerja sebagai tukang rumah itu pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.
Bapa kepada lima anak itu sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama pada 25 Jan lalu dan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000.
Sementara itu, sumber yang enggan identitinya didedahkan memaklumkan Mohd Affendi kini menjalani hukuman di Penjara Marang kerana gagal membayar denda.
Selain itu, dia berkata Jabatan Penjara juga tidak membenarkan sebarang rakaman dibuat ketika proses hukuman sebatan dilaksanakan di masjid nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan