Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular seorang lelaki bertindak agresif dengan menggunakan cota di Taman Rinting, Masai.
Pasir Gudang: Lelaki berusia 26 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki yang juga jirannya selepas ditegur menyebabkan bunyi bising.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki berkenaan ditahan sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada 4.10 petang hari ini.
Beliau berkata, terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun mendakwa diserang seorang individu.
Menurutnya, individu berkenaan dipercayai menyerangnya kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang menegur berkaitan bunyi ekzos yang bising.
Katanya, suspek tidak berpuas hati bertindak agresif memukul mangsa dengan menggunakan sebatang kayu.
"Akibat kejadian itu mangsa mengalami lebam di bahagian tangan lengan kiri," katanya.
Mohd Sohaimi berkata, pihaknya turut merampas sebarang kayu daripada suspek.
"Hasil ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif dadah dan tidak memiliki rekod lampau berkaitan jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan