Alang Bendahara
Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menggugurkan nama seorang pakar psikiatri di Petaling Jaya, Selangor daripada daftarnya dan menggantungnya selama setahun selepas didapati bersalah menghantar mesej lucah kepada pesakitnya.
Namun, sehingga minggu lalu pakar tersebut, Dr Gurdeep Singh Narain Singh masih menjalankan tugasnya dan berkata akan membuat rayuan terhadap penggantungan tersebut.
juga masih tersenarai sebagai pengamal berdaftar dengan MMC, setakat 20 Disember lalu.
Menurut keputusan lembaga disiplin MMC bertarikh 19 November, pakar psikiatri itu telah menghantar mesej lucah kepada pesakit yang berada dalam “keadaan emosi dan mental yang lemah”.
Pesakit tersebut mendapatkan terapi daripadanya ekoran masalah keresahan dan kecelaruan stress pascatrauma (PTSD), yang menurutnya bermula selepas dia dirogol.
Walaupun sebulan telah berlalu sejak keputusan lembaga disiplin MMC dikeluarkan, Gurdeep berkata tempoh rayuan 30 hari belum tamat kerana dia hanya menerima notis penggantungan pada minggu kedua Disember, antara 9 hingga 13 haribulan.
Ketika dihubungi pada 20 Disember lalu, Gurdeep berkata dia masih belum memfailkan rayuan tetapi berhasrat untuk membuatnya.
“Keputusan berkenaan saya belum berkuat kuasa kerana saya sedang dalam proses merayu. Oleh itu, saya belum digantung,” katanya, sambil menggesa Malaysiakini untuk tidak melaporkan perkara itu sementara menunggu rayuan.
Menurut Akta Perubatan 1971, sesiapa yang digantung daripada daftar perubatan ada tempoh sebulan untuk memfailkan rayuan.
Ketika dihubungi, Bahagian Etika dan Undang-Undang MMC mengesahkan dapatan lembaga disiplin mengenai “salah laku profesional yang serius” terhadap Gurdeep tetapi memaklumkan penggantungan berkuat kuasa “mulai tarikh surat diterima oleh pengamal tersebut”.
Ia enggan menjelaskan bila Gurdeep menerima surat itu dan berkata perintah penggantungan “hanya akan secara rasmi disahkan terhadap nama pengamal dalam daftar di laman web MMC selepas tamat tempoh 30 hari dari tarikh komunikasi dengan pengamal”.
Notis penggantungan yang dihantar kepada pengadu dan dilihat oleh Malaysiakini adalah bertarikh 19 November.
Masih terima pesakit baru
Semakan Malaysiakini pada 20 Disember mendapati Gurdeep masih menawarkan perkhidmatan psikiatri di The Psych Clinic di Petaling Jaya, dengan menggunakan nama Dr GS Grewal.
Malaysiakini cuba membuat temu janji dengannya pada hari tersebut melalui nombor WhatsApp yang tertera, dan temu janji ditawarkan untuk minggu berikutnya.
Apabila Malaysiakini menghantar emel kepada klinik untuk mendapatkan maklum balas, Gurdeep kemudian menelefon Malaysiakini untuk menjelaskan dia sedang merayu keputusan tersebut.
Dia juga berkata sedang “mengurangkan” praktiknya dan hanya menemui pesakit sedia ada.
Pada masa sama, Malaysiakini masih ditawarkan untuk membuat janji temu dengannya sebagai pesakit yang baru.
“Saya sebenarnya tidak berjumpa dengan mana-mana pesakit. Saya tiada masa. Saya sedang berjumpa peguam,” katanya ketika panggilan telefon menggunakan nombor telefon klinik tersebut.
Hukuman ‘terlalu ringan’
Pengadu yang memfailkan aduan kepada MMC pada 2019 berkata dia “amat terganggu” apabila mengetahui Gurdeep masih menjalankan tugasnya.
Wanita itu juga menyifatkan hukuman gantung selama setahun “terlalu ringan” dan hakikat yang Gurdeep masih bertugas meningkatkan risiko terhadap pesakit lain.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama pengadu, selaras dengan garis panduan etika media mengenai laporan berkaitan mangsa jenayah seksual.
Menurut keputusan lembaga disiplin MMC, pakar psikiatri itu menghantar mesej lucah kepada pengadu dan cuba untuk menjalin hubungan seksual dengannya pada Jun 2019, tetapi wanita itu menolaknya.
Menurut keputusan itu, dalam salah satu mesej, dia mendesak pesakit untuk membuat onani dan mencapai klimaks, sebelum dia memberikan terapi Eye Movement Desensitisation and Reprocessing (EMDR).
Apabila pesakit itu memberitahunya yang dia “terlalu melampaui batas”, pakar psikiatri itu berkata pesakit tersebut “terlalu berfikir (overthinking)” dan mereka “berdua ada melanggar sedikit batasan”.
Gurdeep juga dalam keterangannya berkata dia berada di bawah pengaruh alkohol dan pengadu “memberi respons dan secara aktif turut terlibat” dalam perkara itu.
Namun, lembaga disiplin MMC menegaskan ia “tidak relevan dan tidak mewajarkan kelakuan responden” kerana “tidak wajar” bagi ahli profesional perubatan menjalin hubungan seksual atau emosi dengan pesakit mereka.
Akui kelakuan tak wajar
Lembaga itu juga tidak menemui bukti kukuh untuk menyokong hujah pembelaannya, termasuk dakwaan yang dia berada di bawah pengaruh alkohol ketika menghantar mesej yang tidak wajar itu.
Lembaga juga mendapati tindakan Gurdeep melanggar Seksyen 2.2.4 Kod Etika Profesional MMC.
Seksyen 2.2.4 menyatakan seorang pengamal tidak boleh menjalin hubungan emosi atau seksual, atau sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai gangguan seksual dengan pesakit yang mengganggu kehidupan keluarga pesakit atau menyebabkan kerosakan atau tekanan kepada pesakit atau keluarganya.
Namun, berkenaan keputusan untuk menggantungnya selama setahun berbanding membuang namanya daripada daftar, lembaga berkata Gurdeep mengakui kelakuannya tidak wajar dan menyatakan rasa kesal atas perbuatannya.
“Responden telah dihukum dengan berat dan mengalami kerugian besar akibat insiden tersebut, termasuk kehilangan pekerjaan, pendapatan dan reputasi,” kata lembaga disiplin MMC.
Gurdeep telah dipecat daripada Hospital Thomson pada 2019 selepas pesakit itu membuat aduan.
Pada 2020, dia diheret ke mahkamah atas tuduhan mencabul kehormatan pesakit tetapi dibebaskan tahun lalu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Mahkamah Tinggi kemudian menolak rayuan yang difailkan pendakwaan.
Dia bagaimanapun tidak didakwa di bawah Akta Antigangguan Seksual yang mula berkuat kuasa pada Oktober 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan