"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita dakwa ditekan polis tarik balik laporan anak autistik diserang


story-image
Shahrin Aizat Noorshahrizam

Pemuda autistik berusia 23 tahun, Syaidina Zurhailef Hailmi didakwa telah diserang oleh rakan sekerjanya di sebuah restoran makanan segera tempat mereka bekerja.

Memburukkan lagi keadaan, ibunya, Adra Azura mendakwa seorang pegawai penyiasat dari balai polis daerah Wangsa Maju telah memaksa mereka untuk menarik balik laporan yang dibuatnya berhubung kejadian tersebut.

"Saya dinasihatkan untuk gugurkan kes ini bagi mengelakkan anak saya direman kerana tiada lokap khas untuk orang kelainan upaya," dakwa Adra.

Dia berkata pegawai tersebut juga memberitahunya yang Syaidina dan rakan sekerjanya perlu direman jika siasatan diteruskan.

Tekad untuk mendapatkan keadilan, Adra bertegas agar polis melihat rakaman CCTV di tempat kerja anaknya untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku.

"Sebagai seorang ibu, hati saya hancur melihat anak saya dilayan begini. Tiadakah tempat untuk anak saya di sisi masyarakat?" soalnya.

Dia berkata Syaidina tiada sejarah terlibat dalam pergaduhan atau diserang sebelum ini, dan selain mengalami lebam serta bengkak, insiden tersebut telah menyebabkan dia menjadi trauma.

Dia mendakwa kejadian itu berlaku sekitar jam dua petang dan dia membuat laporan balai polis Wangsa Maju pada jam 6.33 petang selepas membawa anaknya ke hospital untuk rawatan.

Adra berkata dia kemudian dipanggil semula ke balai polis pada jam lapan malam, di mana dia mendakwa telah ditekan untuk menarik balik laporan.

Syaidina, rakan sekerja akan dipanggil

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Mohamad Lazim Ismail berkata kedua-dua pihak telah membuat laporan berhubung kejadian itu.

Dia berkata polis akan memanggil Syaidina dan rakan sekerjanya untuk siasatan lanjut.

"Kami perlu mengambil keterangan semua pihak dahulu," katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Lazim tidak memberi respons kepada pertanyaan Malaysiakini mengenai dakwaan Adra ditekan untuk menarik balik laporan yang dibuat.

Adra kemudian memberitahu Malaysiakini dia tidak akan menarik balik laporan itu dan berharap perkara itu dapat diselesaikan demi kesejahteraan mental anaknya.

"Saya ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku, jika dia bersalah maka saya perlu beritahu doktor dan dapatkan rawatan yang sesuai untuknya," katanya, sambil menambah doktor Syaidina mengesahkan bahawa dia trauma susulan insiden tersebut.

Adra juga mendakwa nama anaknya dan rakan sekerjanya telah dikeluarkan daripada jadual kerja di tempat kerja mereka, dan dia tidak pasti jika mereka telah dibuang.

Tiada ulasan: