"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anggota polis dihanyutkan arus deras di tali air

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang koperal polis dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan air deras semasa mandi-manda bersama rakan-rakannya di tali air di Jalan Utama Changkat Lada, dekat Kampung Gajah, Ipoh, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, ketika kejadian, mangsa berusia 39 tahun yang bertugas di Bilik Gerakan IPD Melaka Tengah itu baru selesai menghadiri majlis perjumpaan bekas pelajar SMK Changkat Lada.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.47 petang sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa disyaki lemas di tali air sewaktu mandi-manda bersama rakannya berhampiran dengan tali air pintu gerbang Changkat Lada.

“Mangsa dikatakan keletihan dan cuba ke tebing namun arus deras menghanyutkannya,” katanya, lapor Bernama.

Sabarodzi berkata, anggota bomba mencari mangsa dengan menyusuri tali air itu, yang dianggarkan sedalam 4m.

Khidmat anjing pengesan Unit K9 bomba akan membantu operasi pencarian yang disambung 8 pagi esok, tambahnya.

Tiada ulasan: