Astro Awani
Tiga maut manakala empat lagi cedera parah selepas sebuah bas terbabas dari lebuh raya lalu terjunam ke dalam tasik di utara Norway. - Gambar/ AP
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan empat rakyat Malaysia cedera dalam kemalangan bas berhampiran Tasik Pasresvatnet, Norway Khamis lalu.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, keempat-empat individu terbabit mengalami kecederaan ringan dan ditempatkan di Hotel Thon di Lofoten.
“Empat warga Malaysia disahkan menginap di Thon Hotel, mereka telah disediakan dengan penginapan.
“Walau bagaimanapun, disebabkan siasatan sedang dijalankan, penumpang ini tidak dibenarkan mengakses telefon atau komunikasi langsung dengan dunia luar.
“Kakitangan hotel juga dilarang memulakan hubungan dengan penumpang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
3 maut, 4 parah dalam kemalangan bas di utara Norway
Sebelum ini, laporan media menyebut, tiga maut manakala empat lagi cedera parah selepas sebuah bas terbabas dari lebuh raya lalu terjunam ke dalam tasik di utara Norway.
Laporan awal menunjukkan penumpang bas yang sebahagiannya tenggelam dalam tasik, terdiri pelancong asing dari China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis dan Ukraine
Ketua Staf Daerah Polis Nordland, Bent Are Eilertsen, dilapor berkata: "Bas itu sebahagiannya tenggelam. Tiga kematian disahkan dan empat orang mengalami kecederaan parah.
"Pasukan kecemasan berjaya membawa keluar semua penumpang dari bas itu," katanya dilaporkan media antarabangsa.
Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan, pasukan konsular Kedutaan sedang giat bekerjasama dengan pihak berkuasa Norway untuk menentukan jumlah rakyat Malaysia terlibat dan memberikan bantuan diperlukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan