Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Tertuduh dipenjara 25 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah merogol anak kandung hingga hamil. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Saya kesal terhadap apa yang dilakukan, saya minta maaf," demikian kata lelaki warga Kemboja yang dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas merogol anak perempuannya sehingga hamil empat bulan.
Tertuduh berusia 38 tahun sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak kandung berusia 13 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat antara 3 hingga 4 pagi sepanjang Ogos lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) memaklumkan seorang pesakit bawah umur didapati hamil ketika menerima rawatan.
Siasatan polis mendapati mangsa mengalami sakit perut sebelum dibawa tertuduh untuk menjalani pemeriksaan di hospital terbabit.
Hasil siasatan polis juga mendapati mangsa dirogol bapa kandung sejak berusia sembilan tahun dan kali terakhir tertuduh melakukan perbuatan itu pada Ogos lalu.
Ketika kejadian, mangsa sedang tidur dalam bilik dan tertuduh menyelinap masuk seterusnya melakukan perbuatan terkutuk itu.
Namun, tertuduh berhenti melakukan perbuatan itu selepas mangsa kerap muntah dan sakit perut.
Selain itu, mangsa turut memberitahu dia dirogol antara empat hingga lima kali seminggu tanpa menceritakan kejadian kepada sesiapa pun.
Tertuduh yang juga pemegang kad pengenalan sementara, berkahwin dengan warga tempatan, namun berjauhan dengan isteri yang kini bekerja dan menetap di Australia sejak tujuh tahun lalu.
Susulan laporan diterima HSNI, polis membuat tangkapan terhadap tertuduh di rumahnya kira-kira 4 pagi pada 17 Disember lalu untuk membantu siasatan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain dipenjara dan sebatan, mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling ketika dalam penjara serta pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai hukuman selari dengan Seksyen 26 dan Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan