Izz Laily Hussein
bhnews@bh.com.my
Lelaki maut selepas motosikal Honda RS150R ditunggang kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 29.3 Lebuhraya Linkedua menuju Plaza Tol Senai Utara di Kulai, Johor. - Foto POLIS
KULAI: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kilometer 29.3 Lebuhraya Linkedua menuju Plaza Tol Senai Utara, di sini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan maut itu kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Nahas membabitkan sebuah motosikal jenis Honda RS150R dengan sebuah lori yang jenisnya tidak dapat dipastikan.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai apabila motosikal ditunggang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun itu mengelak lori yang berada di lorong kanan. Ia menyebabkan penunggang hilang kawalan dan melanggar besi pembahagi jalan di bahagian kanan laluan.
"Akibatnya, penunggang parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan media, malam tadi.
Beliau berkata, selepas kejadian itu, pemandu lori bertindak melarikan diri dari lokasi kemalangan dan polis sedang mengesannya bagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat penunggang motosikal dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini untuk bedah siasat.
Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kemalangan itu menghubungi Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan